Malaysia Dateline

Usah terjebak tiup kebencian kaum, seru Ustaz Hasanuddin

Naib Presiden AMANAH, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus menyeru agar semua pihak membina kemesraan sesama kaum dan pelbagai penganut agama di negara ini.

Berkongsikan pengalamannya menumpang solat Maghrib di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Batu 9, beliau berkata persekitaran sekolah itu bersih dan kemas.

“Kebetulan, saya akan menandatangani sebuah papan tanda dalam perpustakaan sekolah yang pernah kami berikan sedikit sumbangan suatu ketika dahulu.

“Saya kagum dengan kebersihan dan kekemasan di dalam dan di sepanjang jalan menuju ke perpustakan itu. Mereka tidak menghalang kami untuk menunaikan solat berjamaah di sana.

“Saya merasakan anak-anak kaum Tionghua bagaikan anak-anak saya sendiri. Mereka dididik dengan pendekatan terbaik,” dipetik dari Facebook beliau.

Terdahulu, Ustaz Hasanuddin yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat dijemput ke sekolah itu untuk majlis makan malam sambil mengutip derma.

“Jangan terlibat dengan mereka yang meniupkan api kebencian dan perkauman. Saya berpandangan bahawa mereka yang kecewa dengan keputusan PRU14 sahaja yang mencari jalan kebencian di negara ini,” ujarnya lagi.