Usah terkejut jika PH menang Parlimen Marang, kata Miqdad

Usah terkejut jika PH menang Parlimen Marang, kata Miqdad

Ketua AMANAH Kawasan Marang, Ustaz Miqdad Zakaria berkata, berdasarkan senario semasa, Pakatan Harapan (PH) mempunyai potensi besar, justeru usah terkejut sekiranya PH menang di Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Kata Miqdad, maklum balas yang diberikan oleh peratus yang besar dalam kalangan pengundi di kawasan parlimen berkenaan memihak kepada PH.

Kerusi Parlimen Marang adalah salah satu daripada tiga Kerusi Parlimen yang akan ditandingi AMANAH di Terengganu pada PRU14. Dua yang lain ialah Parlimen Kuala Terengganu dan Parlimen Kuala Nerus.

Kerusi Parlimen Marang kini disandang oleh Pas dengan wakilnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas.

Jelasnya, Parlimen Marang yang mempunyai lebih kurang 95,000 pengundi itu (sebelum persempadanan semula sekitar 105,000) sebahagian besarnya terdiri daripada mereka yang tidak menjadi ahli mana-mana parti dan mereka ini adalah golongan atas pagar.

Miqdad Zakaria

Dan golongan ini jelasnya, agak lebih terbuka berbanding ahli mana-mana parti.

Pas Marang sendiri pun katanya, hanya mempunyai lebih lapan ribu orang ahli sahaja yang layak mengundi pada PRU14 ini.

Kata Miqdad, PH setakat ini telah melaksanakan lebih 75 peratus program kunjungan ke kediaman pengundi di Marang, dan daripada kunjungan tersebut, maklum balas yang diterima mendapati sebahagian besar menguntungkan PH.

“Dan tidak dinafikan, kita juga mendapat tentangan daripada sebahagian mereka,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Manakala pengundi Cina yang terdiri daripada sekitar empat ribu orang yang dulunya bersama Pakatan Rakyat, kini telah bersama PH tanpa belah bahagi, tambahnya.

Begitu juga jelasnya, dengan pengundi India, mereka bersama PH biarpun bilangan mereka agak kecil.

Hubungan antara PH dengan golongan pungundi bukan Islam di Marang kata beliau, adalah amat rapat.

Peta kedudukan daerah Marang,

Jelas Timbalan Pengerusi PH Terengganu itu, PH mengambil kaedah harmonis dalam mendekati pengundi di Marang menjelang PRU14 ini.

“Dalam kunjungan-kunjungan yang kitab buat, kita tidak memakai ‘jubah’ atau ‘uniform’ parti. Tidak membawa lambang. Kita berpakaian biasa dan dengan keadaan begitu, mereka bersedia dan mudah menerima kita.

“Dalam pertemuan tersebut kita sampaikan maklumat,” katanya.

Begitu juga kata beliau, PH tidak menganjurkan program-program yang bersifat provokatif seperti konvoi bermotosikal membawa bendera parti seumpamanya.

“Saya sendiri telah mengarahkan kepada petugas-petugas parti agar tidak ghairah memacak bendera dan menaikkan poster parti jika tidak perlu dan tidak menguntungkan, kerana kita tidak mahu menimbulkan sesuatu yang tidak diingini.

“Kita cuba elakkan, yang penting bukan bendera tetapi pengundi, kita mahu mendekati pengundi,” tambahnya.

Parlimen Marang mempunyai empat kawasan Dun di bawahnya iaitu, Alor Limbat, Bukit Payung, Rhu Rendang dan Pengkalan Berengan.

Setelah memalui proses rundingan yang cermat dan harmoni PH telah menetapkan Dun Alor Limbat akan ditandingi oleh PKR, Dun Bukit Payung oleh AMANAH, Dun Pengkalan Berangan dan Dun Rhu Rendang oleh Bersatu.

Jelas Miqdad lagi, kerjasama antara anggota PH di Marang sangat harmonis dan mantap sehinggakan kata beliau, pejabat bagi semua parti ini dikongsi bersama dan ia dinamakan Pejabat PH.

Masjid Rusila – Pusat aktiviti Pas di Marang.

Sehingga kini banyak program dibuat secara bersama seperti program dialog, agihan limau pada masyarakat Cina dan banyak program yang lain.

Berhubung persempadanan semula, Miqdad berkata, sebahagian pengundi Marang telah dipindahkan ke Parlimen Kuala Terengganu.

Berhubung isu pilihan raya pula, Miqdad berkata, PH akan membangkitkan isu-isu berkaitan, khususnya isu tempatan, apabila parlimen telah dibubarkan.

Buat masa ini kata beliau, PH tidak mahu mewujudkan sesuatu yang ‘panas’.

 

—-

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote