“Usah terperdaya janji musuh, elak hilang majoriti kuasa Islam”

“Usah terperdaya janji musuh, elak hilang majoriti kuasa Islam”

Sehari sebelum pemilih di Parlimen Cameron Highlands membuang undi, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di Felda Gugusan Sungai Koyan menyeru jemaah solat Jumaat hari ini agar berwaspada dengan “janji-janji musuh Islam”.

Menerusi khutbah yang dibacakan, khatib mengingatkan bahawa musuh Islam memang bertujuan untuk melemahkan kekuatan penganut agama itu.

“Amat malang sekali jika perpecahan dan perbalahan berlaku sesama umat Islam di negara kita ini, jikalau ada di kalangan kita yang meminta bantuan dan sokongan daripada musuh-musuh Islam.

“Marilah kita bersama-sama bersatu memartabatkan agama Islam supaya kita akan kuat dan teguh serta mampu menangkis ancaman-ancaman musuh Islam.

“Janganlah kita mudah sekali-sekali terpedaya dengan janji-janji musuh Islam kerana inilah strategi mereka untuk memecahkan perpaduan melemahkan kekuatan umat Islam,” katanya.

Beliau selanjutnya menyebut musuh Islam terbabit bertujuan untuk “menguasai dan mengambil alih negara ini menjadi negara yang bukan Islam”.

Sehubungan itu, khatib menyeru umat Islam tanpa mengira perbezaan politik bersama-sama mempertahankan dan memartabatkan kedaualatan agama Islam sebagai agama Persekutuan yang telah termaktub dalam Perlembagaan negara.

Jelasnya, mana-mana pihak yang mahu meminda atau mencabuli peruntukan tersebut hendaklah diambil tindakan dengan tegas.

“Marilah kita bersama-sama memahami dan menyedari akan bahaya yang mengancam umat Islam hari ini. Ia boleh menyebabkan kita kehilangan majoriti kuasa Islam dalam pemerintahan maka jatuhlah maruah agama dan bangsa kita,” ujar khatib lagi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut hadir bersembahyang di masjid yang terletak di kerusi Dun Jelai itu.

Dun Jelai majoritinya terdiri daripada pengundi Melayu yang membentuk 33.1 peratus iaitu 10,594 pengundi daripada keseluruhan 32,008 pemilih berdaftar di Parlimen Cameron Highlands.

Mereka terdiri daripada penduduk di beberapa kampung tradisi antaranya Kuala Medang dan Kampung Keledek serta warga Felda Sungai Koyan 1, 2 dan 3.

Ini diikuti pengundi Cina (28.2 peratus), Orang Asli (24.6 peratus) dan India (14 peratus) dengan majoritinya tertumpu di Dun Tanah Rata.

Terdapat 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dun Jelai dengan jumlah 12,485 pemilih dan 17 PDM di Dun Tanah Rata.