Malaysia Dateline

Usah terus bergantung pada pelabur asing, luaskan lagi pelaburan tempatan, kata Jomo

Kerajaan perlu mencari inisiatif yang dapat memberi rangsangan kepada pelabur tempatan untuk terus melabur dalam negara dan bukan hanya meletakkan kebergantungan kepada pelaburan asing melebihi pelaburan tempatan.

Ahli ekonomi terkemuka, Dr Jomo Kwame Sundaram berkata, seperti kebanyakan dunia luar, pelabur tempatan memimpin dan memonopoli negara mereka sendiri, manakala pelabur asing pula hanya sebagai pengikut.

Bekas Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi pembangunan ekonomi itu berkata, faktor yang menyebabkan ekonomi negara semakin lembab disebabkan kerajaan tidak lagi meneruskan program perindustrian iaitu membina industri lokal yang boleh menjamin kemampuan negara menjana pendapatan.

“Apa yang patut kita pentingkan ialah pelabur tempatan. Selangor terutamanya amat penting kerana hampir 40 peratus keluaran ekonomi Malaysia adalah di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya (Lembah Klang).

“Kalau ada pukulan teruk di negeri-negeri ini, itu satu pukulan cukup terkesan. Terdapat lebih 1,000 syarikat kejuruteraan dalam negara dan kebanyakannya merupakan syarikat Sdn Bhd atau syarikat kecil.

“Mereka sama sekali tidak mengharapkan apa-apa asalkan kerajaan tidak kacau mereka. Ini sedih.

“Akhirnya apa yang menyebabkan ekonomi lembab semenjak krisis kewangan Asia pada 1997 dan 1998, adalah kerana kita sudah meninggalkan cita-cita Wawasan 2020 untuk meneruskan perindustrian,” jelasnya yang sebelum ini lantang menyuarakan mengenai ketidakseimbangan ekonomi di bawah pemerintahan bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Jomo berkata demikian dalam temubual secara langsung di Facebook yang membincangkan tentang ‘Ekonomi Pasca Pandemik: Ke Mana Hala Tuju?’.

Panel lain, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Dr Nungsari Ahmad Radhi.

Mengulas lanjut Jomo berkata, kebanyakan pelabur asing tidak melabur di Malaysia kerana kurangnya tenaga kerja seperti jurutera dan pekerja teknikal yang amat diperlukan untuk menjayakan industri mereka.

Selain itu katanya, kerajaan tidak harus melihat pendekatan untuk menyokong pelaburan tempatan dengan hanya menyediakan tapak, tetapi juga menyediakan pekerja yang terlatih dan berkemahiran.

“Kita perlu membangunkan perindustrian kita supaya pelabur asing terus melabur tetapi bukan kerana buruh kita murah.

“Kita kena tingkatkan bahawa buruh kita mahir dan dengan itu sudah tentu akan beri pendapatan lebih baik,” kata Jomo lagi.