Malaysia Dateline

Usah tonjolkan solat fardu berjemaah dalam situasi fitnah

Ada lagikah orang Malaysia yang degil, acah-acah warak lalu curi-curi berhimpun untuk solat fardu berjemaah di tempat awam? Tidak perlulah, sebab solat fardu berjemaah bukan fardu ain.

Jika solat Jumaat yang fardu ain pun boleh gugur dengan situasi fitnah kini, mengapa dedahkan diri kepada bahaya untuk solat fardu berjemaah? Susah sangatkah nak faham?

Solat fardu berjemaah di masjid dan surau dibuat bertujuan menegakkan syiar Islam. Adanya solat fardu berjemaah menunjukkan adanya orang Islam di kawasan berkenaan.

Kini, dalam situasi fitnah, syiar Islam melalui solat fardu berjemaah tidak perlu ditonjolkan. Syiar Islam boleh ditonjolkan dengan kesatuan orang Islam berkurung di rumah melawan wabak.

Solat berjamaah boleh ditunaikan di rumah bersama keluarga. Kalau masih bujang dan tidak dapat pahala solat fardu berjemaah, tingkatkan amalan saleh yang lain sebagai imbalannya. Misalnya baca al-Quran, baca hadith, baca buku, cuci rumah dan sebagainya.

Lagipun, orang yang iltizam solat fardu berjemaah dalam situasi biasa, jika tidak dapat solat fardu berjemaah dalam situasi genting, pahalanya tetap mengalir seperti biasa dengan syarat ada keazaman untuk melakukannya.

Beragama bukan dengan ikut-ikutan tetapi dengan kefahaman, bukan dengan sentimen tapi dengan pengetahuan. Sebab itu, belajar agama tidak boleh sebarangan.

Jika dapat guru yang jenis ikut-ikutan dan guna sentimen, maka berlakulah begitu juga dalam kalangan pencinta agama. Jadilah pencinta agama berpengetahuan dan berkefahaman.