Usah tunggu 2047 untuk tubuhkan RCI 1MDB

Bekas ketua audit negara, Tan Sri Ishak Tadin, hari ini diminta untuk menjadi saksi terakhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urusniaga matawang asing Bank Negara Malaysia (BNM).

Tan Sri Ishak merupakan Ketua Audit Negara semasa timbulnya isu urusniaga matawang asing BNM pada awal 1990-an.

Walaupun beliau hadir ke siding RCI hari ini, Tan Sri Ishak tidak dapat memberikan keterangan kepada panel RCI kerana masalah kesihatan.

Akhbar hari ini melaporkan bahawa beliau diwakili anaknya, Rizal Ishak. Rizal menyatakan bahawa ayahanda beliau tidak dapat mengingati semula apa yang telah berlaku 30 tahun yang lalu.

Saya sempat melihat video beliau berjalan keluar dari bilik panel RCI dan amat bersimpati dengan Tan Sri Ishak. Apa tidaknya, tidak ada keperluan untuk mengganggu beliau yang telah puluhan tahun bersara dari jawatan tersebut.

Mengapa perlu tunggu sehingga 30 tahun untuk menubuhkan RCI urusniaga matawang asing ini?

Sekiranya kerajaan melihat penubuhan RCI adalah sesuatu yang amat penting serta menganggap bahawa Dr Mahathir sebagai penghalang penubuhannya, maka tentunya RCI ini telah ditubuhkan pada tahun 2003, iaitu sejurus selepas Dr Mahathir bersara.

Najib Razak pula diangkat menjadi Perdana Menteri pada 3 April 2009. Apakah selepas lapan tahun menjadi Perdana Menteri baru Najib terjaga dari tidur dan menyedari bahawa satu siasatan perlu dibuat ke atas urusniaga matawang asing Bank negara?

Pada awal 1990an, Lim Kit Siang, yang merupakan Ketua Pembangkang ketika itu telah menggesa agar kerajaan menubuhkan RCI. Namun gesaan itu ditolak.

Ketika itu Najib Razak merupakan Menteri Pertahanan (1991-1995) dalam kabinet pimpinan Dr Mahathir. Beliau juga ketika itu adalah salah seorang dari Naib Presiden Umno.

Sekiranya beliau melihat kerugian urusniaga tukaran asing Bank Negara sebagai satu penyelewengan, Najib seharusnya berani membuka mulut menentang penyelewengan tersebut secara terbuka. Di mana suara Najib Razak ketika itu?

Apakah selepas 30 tahun baru Najib Razak terfikir bahawa satu RCI perlu ditubuhkan untuk menyiasat urusniaga matawang asing BNM?

Saya tidak bercadang mengulas secara mendalam tentang isu urusniaga matawang asing BNM.

Apa yang ingin saya tekankan ialah pengajaran yang amat penting yang perlu diambil dari tindakan menubuhkan RCI ini.

Ianya seharusnya telah membuka mata generasi yang ada pada hari ini tentang peri pentingnya mencari dan menegakkan kebenaran apabila timbulnya isu-isu besar di zaman mereka.

Contohnya, apakah kita telah menjalankan tanggungjawab kita di zaman kita sekiranya kita hanya biarkan isu 1MDB dan SRC International berlalu begitu sahaja?

Adakah kita sanggup melihat pada tahun 2047 nanti pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan pemimpin-pemimpin politik yang berkaitan di heret ke RCI untuk mencari kebenaran tentang 1MBD?

Ketika itu mereka tentunya telah lanjut usia. Mungkin ketika itu kebanyakkan dari mereka telah tiada lagi di dunia ini atau jika ada, mereka tidak dapat mengingati apa yang berlaku.

Jangan biarkan anak cucu kita tertanya-tanya apa yang telah dilakukan oleh kita untuk mencari kebenaran tentang isu yang belaku pada hari ini. Berkata benarlah walaupun pahit.

Ayuh anak-muda, ayuh generasi yang ada, kita bawa Malaysia ke puncaknya semula. Sesungguhnya Malaysia berhak mendapat yang lebih baik.

*Penulis Dr Radzi Jidin dari Hobart, Australia