Malaysia Dateline

Usaha bagi memastikan perjuangan tidak sia-sia

Dr Xavier Jeyakumar meninggalkan PKR untuk memberi sokongan pada kerajaan Perikatan Nasional. Bagi yang mengetahui mengenai perkembangan beliau lama sebelum ini tentu faham apa yang telah berlaku menjadikan lompatan itu suatu yang tidak mengejutkan.

Tetapi benar juga kata bekas rakan separtinya, Rasiah Sivarasa bahawa Xavier adalah antara aktivis awal yang memberikan sokongan kepada Anwar ibrahim dan gerakan Reformasi pada tahun 1998 dengan beliau turut berperanan menubuhkan Parti Keadilan Nasional. Menurut Sivarasa dalam kenyataannya yang disebarkan oleh aktivis PKR, Xavier banyak berkorban untuk parti pada awal penubuhan Keadilan. Baginya tindakan lompat itu dirasakan akibat tekanan besar.

Keadilan pada awal penubuhannya bukan saja berjaya menjadi wadah bagi bekas ahli Umno yang menyokong Anwar tetapi memberi ruang pada persatuan-persatuan sivil atau NGO untuk menyertai politik, antaranya di kalangan aktivis dari kaum Cina dan India yang menjadikannya parti berbilang kaum.

Aktivisme Xavier dalam PKR memberi kejayaan padanya. Beliau menang pilihan raya dan menjadi ahli parlimen serta dilantik menganggotai kabinet dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Tetapi adakah ekoran lompatan beliau itu, perjuangan beliau dalam PKR selama ini sia-sia?

Begitu juga dengan semua bekas ahli parlimen PKR yang melompat keluar untuk menyertai kerajaan Perikatan Nasional termasuk Azmin Ali sendiri, adakah perjuangan mereka selama ini adalah sia-sia? Mereka tentunya sudah tidak memegang agenda Reformasi. Perhatian mereka buat masa ini adalah memastikan kerajaan Perikatan Nasional terus berkuasa di samping persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Jika usia aktivis PKR dan bekas PKR adalah sekitar 60 tahun ke atas, maka besar kemungkinan mereka muncul melalui cetusan gerakan Reformasi tahun 1998 ekoran dari pemecatan Anwar daripada Umno. Ketika itu golongan ini berusia sekitar 40 tahun.

Gerakan Reformasi bukan saja melahirkan gelombang aktivis baharu tetapi juga ia mendapat sokongan parti pembangkang lain ketika itu. Mereka adalah Pas pimpinan Ustaz Fadzil Noor, DAP dan Parti Rakyat. Ini kerana agenda perjuangan Reformasi adalah selaras dengan prinsip parti-parti itu.

Keadilan sendiri ketika mula ditubuhkan merupakan gabungan daripada pelbagai latar belakang aktivisme tetapi mereka boleh bersatu dalam perjuangan untuk Reformasi dan membela Anwar. Ternyata Keadilan berbeza daripada Umno tetapi aktivis bekas anggota parti itu yang menyokong dapat menerima perjuangan Reformasi.

Kebanyakan aktivis muncul menurut generasi masing-masing sebagai reaksi kepada sesuatu kejadian besar yang mengejutkan dalam sejarah politik negara. Jadi gerakan Reformasi itu melahirkan satu generasi aktivis dan ia mewakili suatu agenda perjuangan.

Tetapi aktivisme Anwar sendiri lahir lebih awal lagi iaitu melalui Demonstrasi Pelajar tahun 1974. Perjuangannya adalah melalui Angkatan Belia Islam Malaysia, ABIM dengan slogan Menegakkan Kebenaran dan Melaksanakan Keadilan. Inilah seruan awal perjuangannya dan pada zaman yang disebut Era Kebangkitan Islam, iaitu sekitar lewat 70-an dan awal 80-an, muncullah satu generasi perjuangan. Usia mereka ketika itu sekitar 20 dan 30 tahun.

Peristiwa Demonstrasi Pelajar itu turut melahirkan satu generasi aktivis yang antaranya menjadi penggerak Parti Sosialis Rakyat Malaya, PSRM. Antaranya ialah Hassan Karim yang kini merupakan ahli parlimen PKR. PSRM kemudian menjadi Parti Rakyat dan bergabung dengan Keadilan untuk menjadi PKR.

Tetapi generasi lebih besar adalah yang muncul semasa Era Kebangkitan Islam itu. Para penyokong Abim adalah antara anggota generasi itu. Termasuk dalam generasi ini ialah Mohamad Sabu. Bukan saja Abim tetapi juga kumpulan pelajar Malaysia di luar negara seperti IRC dan Suara Islam.

Namun apabila Anwar menyertai Umno, sebahagian besar generasi perjuangan ini tidak dapat menerimanya. Dalam Umno, Anwar tidak dapat meneruskan perjuangannya seperti mana yang dilaungkan semasa beliau mengetuai Abim. Maka sebahagian generasi perjuangan itu menjadikan Pas sebagai wadah mereka di bawah kepimpinan Yusof Rawa dan Fadzil Noor.

Perjuangan mereka menjadi lebih rancak apabila ada bekas ahli Umno yang menubuhkan Parti Semangat 46. Pemimpinnya, Tengku Razaleigh Hamzah menentang Umno pimpinan Dr Mahathir Mohamad dengan matlamat untuk memperbaiki Malaysia supaya menjadi negara bersih dan demokratik. Inti perjuangan ini terkandung dalam Manifesto Selamatkan Malaysia yang dikeluarkan menjelang pilihan raya umum tahun 1990. Ia disokong oleh Pas, DAP dan PRM. Perjuangan in menghasilkan satu generasi perjuangan baharu.

Tetapi kemudiannya, Semangat 46 dibubarkan dan ahli-ahlinya menyertai Umno Baru. Perjuangan dan pengorbanan para penyokongnya sejak tahun 1987 menjadi sia-sia.

Pada satu masa dahulu, Umno ditubuhkan di atas perjuangan menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan. Parti itu adalah sebahagian daripada gerakan nasionalisme yang dirintis oleh Kesatuan Melayu Muda, KMM dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya, PKMM. Mereka adalah generasi perjuangan pertama. Bukan saja perjuangan mereka adalah menuntut kemerdekaan tetapi adalah juga untuk memberikan keadilan pada rakyat. Tidak semua parti perjuangan bersetuju dengan cara Umno. Maka muncullah parti alternatif iaitu Parti Negara, Pas dan Parti Rakyat. Semuanya adalah parti perjuangan. Dalam pesaingan ini, Umno menang dan meraih kekuasaan. Sebagai kerajaan, parti ini mentadbir negara dan melaksanakan program-program pembangunan bagi membantu rakyat. Pihak yang tidak bersetuju dengan cara mereka bertindak menjadi parti pembangkang untuk meneruskan perjuangan.

Setelah lama Umno berkuasa, pada zaman Mahathir, timbul amalan-amalan tidak demokratik. Paling utama ialah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap ahli politik pembangkang semasa Operasi Lalang dan pengharaman akhbar. Sekatan kebebasan akhbar adalah antara amalan tidak demokratik yang menuntut perjuangan bagi memperbaiki keadaan negara. Itu belum dikira lagi amalan politik wang dalam Umno yang diakui sendiri oleh Mahathir.

Maka perjuangan menentang Umno demi memperbaik negara adalah penting bagi Pas dan DAP sepanjang dekad 80-an, 90-an dan 2000-an yang di mana kemudian diturut serta oleh Keadilan.

Parti-parti pembangkang memecah tembok politik apabila dapat memenangi lima negeri dalam PRU tahun 2008. Kejayaan ini membawa kepada penubuhan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, Pas dan DAP. Tetapi sampai tahun 2015, Pas telah meninggalkan perjuangan melawan Umno. Ternyata perjuangannya sejak tahun 1978 adalah sia-sia. Bagi sebahagian anak muda yang menyertai Pas pada lewat 70-an dan awal 80-an, mereka berasa dikhianati oleh pucuk pimpinan. Maka mereka keluar parti untuk menubuhkan AMANAH. Dengan parti baharu ini, perjuangan bagi memperbaiki negara diteruskan.

Anak-anak muda lewat 70-an dan awal 80-an kini berusia 60-an dan menjangkau 70-an. Berada dalam AMANAH dan Pakatan Harapan menandakan bahawa perjuangan yang bermula dari muda tidaklah menjadi sia-sia. Sama ada berjaya atau tidak, ia merupakan soal lain. Mungkin ada sebahagian yang letih berjuang dan mereka mengundurkan diri. Perkara itu dapat difahami. Tetapi perjuangan bagi memperbaiki negara perlu diteruskan dan ia memerlukan jiwa dan raga generasi baharu.