Malaysia Dateline

Usaha bangkitkan kembali isu ICERD harus dihentikan, kata Umno

Umno berharap keputusan tegas kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD demi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan diterima baik oleh semua pihak.

Timbalan Presidennya, Datuk Mohamad Hasan berkata, sebarang usaha tidak bertanggungjawab untuk cuba membangkitkan kembali isu yang sudah diputuskan ini, dihentikan.

“Selepas pelbagai penegasan serta bantahan yang dikemukakan oleh Umno Malaysia serta pergerakan sivil di peringkat massa, saya secara peribadi dan Umno Malaysia berterima kasih dan menyambut baik keputusan tegas dan berprinsip ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Bahkan katanya, keputusan tersebut sudah pasti menjawab dan menjadi penamat kepada pelbagai spekulasi serta pertikaian selama ini.

Katanya, Umno akan terus memberikan kerjasama serta sokongan kepada Kerajaan Pakatan Harapan dalam sebarang usaha yang akan membawa kebaikan serta kesejahteraan dalam hubungan antara kaum dan etnik di Malaysia.

Umno Malaysia turut komited untuk terus membantu menambah baik formula keharmonian kaum yang kita bina dan amalkan selama ini.

“Suka saya ingatkan juga, sekiranya keputusan Kerajaan ini sebagai satu helah sahaja, Umno berserta pergerakan sivil yang lain tidak akan teragak-agak untuk bertindak supaya apa yang telah diputuskan dipatuhi serta dihormati,” katanya.

Hari ini, Kerajaan Malaysia telah membuat kenyataan rasmi bahawa negara ini tidak akan meratifikasi ICERD, demi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.

Perkara itu ditegaskan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri petang tadi.