Malaysia Dateline

Usaha gagalkan Undi 18 perlu dihentikan, SPR wajar diberi kebebasan

Sebarang usaha untuk menggagalkan pelaksanaan undi 18 hendaklah segera dihentikan segera dan Suruhanajaya Pilihan Raya serta agensi terlibat perlu diberikan kebebasan dalam melaksanakan tugas mengikut garis masa yang telah disasarkan iaitu pada Julai 2021.

Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir berkata, janganlah kerana kekalahan Perikatan Nasional semakin hampir, maka 1001 jalan manipulasi dirangka yang natijahnya akan merosakkan sistem demokrasi dan pentadbiran negara.

Beliau yang juga Ketua AMK berkata, kenyataan sinis Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim, merangkap Ketua Bahagian Bersatu Jelebu berhubung pelaksanaan undi 18 yang kononnya sukar dilaksanakan dilihat begitu dangkal dan membelakangkan suara rakyat dan Ahli-Ahli Parlimen yang telah membuat keputusan.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had kelayakan mengundi kepada 18 tahun telah diluluskan Parlimen pada Julai 2019 dengan sokongan majoriti 2/3 sepatutnya tidak lagi menjadi pertikaian, bahkan perlu disambut baik semua pihak bagi merealisasikannya.

“Beliau sebelum ini turut pernah mengemukakan alasan bahawa usul undi 18 tergesa-gesa untuk diluluskan. Ini amat tidak masuk akal kerana agenda undi 18 bukanlah perkara baru dan merupakan sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan semasa PRU-14 bagi mengiktiraf suara dan partisipasi orang muda dalam menentukan hala tuju negara,” katanya.

Beliau tidak menolak usaha menggagalkan pelaksanaan undi 18 ini telah menimbulkan kebimbangan Perikatan Nasional kerana terlalu bimbang akan suara orang muda yang menolak mereka

“Maka terdapat gerakan tersusun bagi menggagalkan usaha ini, adakah dengan melantik Tan Sri Rais Yatim sebagai jurubicaranya.

“Jika benar berlaku, maka ianya dilihat seperti mengesampingkan institusi Parlimen, memperlekeh penjawat awam yang melaksanakan tugas serta menghina orang muda dalam membuat pertimbangan,” kata beliau.

Tan Sri Rais Yatim, katanya digesa untuk lebih fokus kepada usaha memperkasakan martabat Dewan Negara sesuai dengan peranan beliau sebagai Yang Dipertua berbanding berterusan bermain dengan sentimen politik sebegini.