Usaha martabat wanita, langkah Pulau Pinang wajar dicontohi

Usaha yang dilakukan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) bagi meningkatkan keupayaan golongan hawa amat wajar dicontohi.

Ketua Angkatan Wanita Amanah (Awan) Kelantan, Normala Mohd Nadzar berkata program yang dilaksanakan badan itu amat berkesan dan boleh disesuaikan dengan pelbagai situasi.

“Saya berkesempatan menyertai satu lawatan bersama sebuah NGO ke sana baru-baru ini mendapati banyak perkara yang boleh dipelajari dan boleh dipraktikkan bagi meningkatkan tahap sosioekonomi wanita,” katanya dalam satu temubual dengan Malaysia Dateline.

Menurutnya, PWDC adalah sebuah agensi kerajaan negeri Pulau Pinang di yang dikelolakan di bawah jawatankuasa pembangunan wanita, keluarga dan komuniti yang sekarang dipengerusikan oleh Chong Eng.

“Amat menarik melihat visi perbadanan ini yang memberi fokus kepada penyertaan dan kebertangggujawaban gender (GRPB).

“Ia melibatkan program pemberdayaan dan kepimpinan wanita (WEL) dan program sokongan pemerkasaan wanita (WES),” katanya.

Usaha ini katanya adalah untuk mengarusperdanakan gender dalam dasar dan program semua sektor untuk mencapai kesaksamaan gender dan keadilan sosial di Pulau Pinang.

“Ia juga berusaha menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri mesra gender dengan pemberdayakan wanita di tempat kerja.

“Mengadvokasi untuk perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang berkualiti dan mudah dan mampu.

“Memenuhi keperluan berbeza untuk kelompok masyarakat yang berlainan
dan menggalakkan prinsip dan amalan kesaksamaan gender dalam keluarga,” katanya.

Semua ini katanya dalam usaha memperkasakan wanita dalam politik dan kepimpinan.

“Bermula dari akar umbi, satu ketetapan dibuat untuk mewajibkan perlantikan wanita dalam jawatankuasa kemajuan dan keselamat kampung (JKKK).

“Bermula dari sekurang-kurangnya seoarang dalam setiap JKKK disasarkan satu pertiga wanita menjelang 2020.

“Namun apa yang berlaku adalah perkembangan luar jangkaan apabila ada JKKK di negeri itu sekarang mempunyai separuh anggota wanita sekarang,” katanya.

Malah katanya terdapat survey yang menunjukkan semakin ramai wanita yang menganggotai JKKK semakin efisyen JKKK berkenaan.

CATEGORIES
TAGS