Usaha pengecilan saiz perkhidmatan awam timbulkan kebimbangan, kata Nurul Izzah

Usaha pengecilan saiz perkhidmatan awam timbulkan kebimbangan, kata Nurul Izzah

Dakwaan adanya usaha pengecilan saiz perkhidmatan awam melahirkan kebimbangan yang teramat sangat.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar ketika ditemui selepas program bantuan makanan dan persekolahan ‘My Kasih, Love My School’ yang telah diadakan di SK Mengkuang, Permatang Pauh sebentar tadi.

Jelas beliau lagi, penjawat awam sememangnya amat memerlukan sumber pendapatan.

Sehubungan itu ujarnya, perkara ini harus diberi perhatian yang serius oleh semua pihak.

“Kenyataan ini menimbulkan kebimbangan dan kekhuatiran.

“Mereka juga memerlukan rezeki bagi meneruskan kesinambungan hidup.

“Beberapa spesifikasi dan cara bagi mencari penyelesaian jua perlu diberi perhatian yang serius.

“Verifikasi mengenai kedudukan ini mesti diperolehi terlebih dahulu,” tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, isu ini tidak boleh dibiarkan diselesaikan secara bersendirian.

Oleh kerana itu kerajaan harus fikirkan resolusi dan keadaan sebenar agar ia dapat diatasi sebaik mungkin.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seramai 16 ribu penjawat awam dijangka akan kehilangan pekerjaan selepas kerajaan memutuskan untuk melaksanakan kawalan saiz perkhidmatan awam.