Malaysia Dateline

Usaha penyebaran maklumat kerajaan di Sarawak dipergiatkan

Alan bergambar bersama-sama para peniaga Pasar Malam SEBERKAS di Miri sebelum mengedarkan risalah.

Usaha penyebaran maklumat menerusi program‘Info on Wheels’ (IOW) anjuran Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak adalah mencakupi pelbagai lapisan masyarakat dan tidak hanya tertumpu kepada sesuatu kaum atau terhad kepada golongan dewasa sahaja.

Ini terbukti apabila Jabatan Penerangan Daerah Kanowit telah mengadakan program IOW untuk memberi penerangan mengenai ‘Langkah-Langkah Melindungi Diri Dari Wabak COVID-19 kepada pelajar Tadika KEMAS Kampung Muhibbah, Kanowit baru-baru ini.

Malah, Jabatan Penerangan Daerah Meradong juga telah mengambil inisiatif mendekati para pelajar yang merupakan ahli Kelab Malaysiaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong, Sarikei bagi menyampaikan penerangan berkenaan COVID-19.

Keterlibatan golongan pelajar dalam program seumpama ini mampu memberi pendedahan kepada mereka mengenai isu semasa yang berlaku di negara ini terutamanya apabila melibatkan aspek kesihatan sebagai pencegahan awal di peringkat sekolah.

Selain daripada isu COVID-19, IOW turut memberi fokus kepada penyebaran maklumat berkaitan inisiatif-inisiatif kerajaan seperti Peka B40, MySalam, e-Tunai Rakyat dan Bantuan Sara Hidup (BSH).

Ketika majlis penyampaian dekoder percuma MyTV di Aeroville Mall di Kuching tempohari, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pending, Violet Yong Wui Wui berkesempatan menyemarak program IOW dengan menyebarkan risalah berkaitan COVID-19 kepada orang awam yang hadir.

Selain itu, Ahli Dewan Negara, Alan Ling Sie Kiong juga telah meluangkan masa menyertai anggota Jabatan Penerangan Daerah Miri semasa pelaksanaan program IOW di Pasar Malam SEBERKAS di Miri.

Alan telah berkesempatan untuk memberi penerangan berkaitan salah satu inisiatif kerajaan iaitu MySalam.

Ketika ditemui, beliau memaklumkan bahawa mulai 11 Februari 2020 lalu, skim MySalam telah diperluaskan dari sasaran golongan B40 sehingga ke M40 yang terdiri daripada golongan yang berpendapatan kasar RM100,000 ke bawah setahun.

Katanya, Kerajaan Persekutuan telah menganjakkan had umur dari 55 tahun kepada 65 tahun bagi kelayakan pemohonan selain menyenaraikan 45 jenis penyakit kritikal dibandingkan dengan 36 jenis penyakit sebelum ini.

“Sekiranya sesiapa yang telah berdaftar dalam skim MySalam dan telah dimasukkan ke wad akibat dijangkiti COVID-19 dan juga 45 jenis penyakit yang telah disenaraikan, mereka akan dilindungi di bawah skim berkenaan dan berhak menuntut elaun sebanyak RM50 sehari dengan tempoh maksimum kemasukan selama 14 hari.

Sementara itu, pada program sama, salah seorang peniaga yang juga merupakan Pengerusi Pasar Malam SEBERKAS Miri, Junaidi Maili, 52 tahun, berkata beliau memperolehi maklumat berkaitan inisiatif kerajaan MySalam melalui program IOW selain mengetahui tentang kewujudan program itu melalui televisyen.

“Saya berharap agar program seumpama ini akan diteruskan pada masa hadapan kerana pendekatan bersemuka ini memiliki manfaat positif kepada masyarakat,” katanya.

Sebagai rekod, setakat ini sebanyak 534 program IOW telah dilaksanakan di peringkat Bahagian dan Daerah di seluruh Sarawak yang melibatkan seramai 17,218 orang dan edaran risalah sebanyak 25,726 keping.