Usaha promosi produk tempatan melalui e-dagang langkah tepat

Usaha promosi produk tempatan melalui e-dagang langkah tepat
Datuk Saifuddin Nasution Ismail

Usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mempromosi produk tempatan menerusi platform e-dagang merupakan satu strategi tepat dan inisiatif itu akan diperkasakan bagi memperhebat Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia (KBBBM).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerjasama yang dilakukan dengan syarikat e-dagang popular seperti Shopee dan Lazada misalnya, sangat bersesuaian dengan situasi semasa kerana urusan jual beli kini bukan sahaja melibatkan pembelian tunai ‘di atas kaunter’.

“Shopee pada bulan lepas melaporkan peningkatan jualan sebanyak 200 peratus melalui kemasukan beberapa produk buatan Malaysia, lebih 3,500 ‘stock keeping unit’.

Cara berdagang sekarang sudah berubah… platform e-dagang kini menjadi satu trend yang kalau tertinggal dan tidak dimanfaatkan, kita akan kerugian,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Khas dan Program Berkhatan di Sekolah Kebangsaan Kiau pada Selasa.

Menurutnya, KPDNHEP juga melaksanakan KBBBM menerusi kolaborasi dengan syarikat AirAsia yang menerbangkan lebih 100 juta penumpang setiap tahun dengan 250 pesawatnya.

“Kita melaksanakan KBBBM melalui platform e-dagang mereka (AirAsia) dikenali sebagai Ourshop, di samping penjualan barangan atau makanan dalam pesawat,” kata Saifuddin.

Selain itu katanya dasar bagi membolehkan setiap pasar raya besar dan terkemuka mempamerkan sehingga 30 peratus produk tempatan dalam premis mereka juga memberikan perkembangan sangat baik.

“Memang ada kejayaan, contohnya satu pengeluar kopi tempatan mencatatkan jualan sehingga tujuh angka. Ada juga jenama kek buah, sos, kicap tempatan yang kita bantu masuk pasar raya besar mencatat jualan sangat tinggi,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan kejayaan KBBBM menerusi platform-platform berkenaan, kementeriannya akan memperkasakan usaha-usaha itu pada masa akan datang bagi meningkatkan hasil jualan produk tempatan.

“Kita akan menambah baik mekanismenya dan akan perhebatkan kempen melalui pelbagai pasaran  supaya produk tempatan mencapai sasaran lebih baik, yang jika diberi peluang produk tempatan ini sebenarnya setanding dengan produk lain,” katanya.– BERNAMA