Usaha satukan komponen PH bentuk kerajaan baharu langkah kebelakang,perkauman, kata Majlis SU PH

Usaha satukan komponen PH bentuk kerajaan baharu langkah kebelakang,perkauman, kata Majlis SU PH

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) hari ini menegaskan sebarang usaha untuk penyatuan Umno -Pas dengan mana-mana parti komponen dalam PH untuk membentuk kerajaan baharu  semata-mata berpaksikan perkauman adalah langkah kebelakang dalam politik Malaysia.

Dalam kenyataan bersama majlis itu menegaskan PH berpegang teguh kepada Muafakat Pakatan Harapan yang telah dipersetuji bersama oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), dan kekal bersatu dalam Kerajaan keanggotaan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam barisan Kabinet.

Juterus  kata kenyataan itu,ebarang cubaan ‘nakal’ untuk mengembalikan politik sedemikian setelah kita menggerak perubahan pada 9 Mei tahun lalu adalah langkah terkebelakang yang tidak akan dirakam hatta di nota kaki sejarah sekalipun. Bahkan ia memberi peluang kepada para kleptokrat dan kuncu-kuncu mereka untuk kembali bertakhta,” kata kenyataan itu lagi.

Majlis menggesa bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan rakan-rakan beliau menghentikan kempen mereka untuk cuba mengajukan ide “kerajaan” tanpa penyertaan DAP dan AMANAH.

Ini susulan Hishammuddin dalam penulisan dan wawancara beliau baru-baru ini telah memberi isyarat kecenderungannya untuk kembali kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum.

“Ini adalah politik usang yang bercanggah sama sekali dengan politik inklusif yang dipelopori Pakatan Harapan.

“Pada musim belanjawan, apatah lagi Belanjawan 2020; wajar untuk kita diperingatkan tentang matlamat asal yang digariskan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan pada tahun 1991 iaitu, mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.” ujar kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha PH Datuk Saifuddin Abdullah, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya; Setiausaha Agung AMANAH Mohd Anuar Tahir da ; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook.

Pada 7 Januari 2018, Muafakat Pakatan Harapan telah menggariskan beberapa perkara teras yang menjadi faktor pemersatu yang menghimpun parti-parti komponen dan juga rakyat Malaysia untuk menolak kerajaan Barisan Nasional yang berdiri di atas paksi politik perkauman, yang telah mengheret negara ke kancah kleptokrasi
global yang mengaibkan.

“Itulah asas kepada mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14; dan amanah itu tidak wajar dicagarkan demi kepentingan politik,” ujar kenyataan itu lagi.