Malaysia Dateline

Usaha Selangor kekang penularan COVID-19 melalui program POIS

Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC) mengesyorkan satu program proaktif (bukan reaktif) iaitu ‘Preventing Outbreak at Ignition Site’ (POIS) atau ‘Mencegah tercetus perebakan di tapak-tapak penularan’.

Pengerusinya Dr Dzulkefly Ahmad berkata, POIS merupakan kerjasama pintar 3-Penjuru (Tripartite Partnership) secara sukarela (voluntary), antara Kerajaan Negeri-Majikan-NGO, di mana tumpuan utama diberikan termasuk menjalankan saringan berkala di semua kilang dan tempat kerja (termasuk tapak-tapak binaan).

Terkini katanya, POIS akan jalinkan kerjasama antara JKNS, Selgate Corporation Sdn Bhd, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) bersama kegiatan NGO Perubatan-Kesihatan seperti IMARET.

“Seandainya kolaborasi semua pihak diperkukuh dan pendekatan yang tepat diambil pada masa yang tepat, kita masih punyai harapan untuk mengekang peningkatan kes ini secara berkesan dengan pendekatan ‘whole of government’ dan ‘whole of society’, yang digunapakai oleh negara-negara yang diiktiraf WHO sebagai berjaya membendung kemaraan pandemik Covid-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga mantan Menteri Kesihatan  berkata, langkah paling mustahak ke arah usaha ini adalah segera meningkatkan jumlah kakitangan barisan hadapan untuk mempercepatkan proses kesemua rantaian kegiatan ujian, kontak rapat, isolasi, kuarantin, rawatan dan pemantauan pesakit dalam kuarantin.

“Selangor, sebagai negeri yang paling pesat dengan kepadatan penduduk serta kegiatan industri, perniagaan dan tapak-tapak pembinaannya, pasti akan menanggung padah yang paling teruk.

“Seandainya semua proses ini lambat serta tergendala maka kita hanya mampu memainkan peranan ‘catchup’ atau ‘mengekori sahaja virus ini, maka kadar transmisi virus ini akan terus melambung tinggi,” ujar beliau.

Lebih penting untuk perhatikan, katanya adalah ‘kadar positif’ dalam ujian saringan yang perlu dipergiatkan dalam Komuniti di mana kadar positif kurang dari 5%, adalah ukuran yang ditetapkan oleh WHO.

Dengan kata lain, katanya jika lakukan 1000 ujian saringan, keputusan positif umpama 200 kes positif adalah 20% kadar positif.

“Ini bermaksud virus sedang ‘berkeliaran’ dalam satu satu komuniti atau tempat perebakan.

“Ini perlu ditangani dengan kadar segera dengan menggunakan beberapa pendekatan kesihatan awam yang terbukti berkesan seperti pertambahan ujian RTK-Ag yang lebih meluas.

“Kalau ujian mendapati hanya 50 kes atau lebih rendah lagi, maka ia dianggap sebagai terkawal di bawah paras ‘baseline’.

“Malaysia pada suatu ketika pernah mencatat kadar kes positif 9.0% yang kini telah turun kepada 5.8%.

Justeru katanya, penting untuk meningkat kemampuan teknologi dalam pengesanan ‘kontak rapat’, yang hari ini amat lambat kerana kita menggunakan tenaga manusia dan bukannya apps digital.