Usaha wartakan taman awam akan dipergiatkan, kata Menteri Wilayah Persekutuan

Usaha wartakan taman awam akan dipergiatkan, kata Menteri Wilayah Persekutuan

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, kementerian beliau kini sedang mempergiatkan usaha untuk mewartakan taman-taman awam di semua negeri dengan keluasan sekurang-kurangnya 250 ekar supaya taman-taman berkenaan dapat dikekalkan dan dilindungi.

Jelas beliau, usaha tersebut merupakan cadangan Jabatan Landskap Negara dan ia berada di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan.

Kata beliau, menurut cadangan tersebut setiap negeri perlu mempunyai taman negaranya sendiri dengan keluasan minimum 250 ekar.

Bagi tujuan tersebut katanya, di Wilayah Persekutuan, taman awam berskala besar iaitu Taman Persekutuan Bukit Kiara seluas 370 ekar di Kuala Lumpur akan diwartakan.

“Kita hendak wartakan supaya kita dapat mengekalkan dan melindungi kawasan-kawasan ini yang mana setiap negeri akan ada taman negaranya sendiri yang boleh dikunjungi oleh rakyat negeri masing-masing.

“Ia adalah satu proses berterusan dan sekarang difahamkan negeri Pahang sudah mempunyai taman awam berkenaan dengan keluasan 250 ekar untuk diwartakan,” katanya selepas merasmikan Putrajaya Park’s Day di Taman Wetland Putrajaya hari ini.

Bagi negeri-negeri lain tambahnya, ia dipercayai akan menyusul namun kementeriannya masih menunggu tindak balas daripada mereka yang terbabit.

Hampir 3,000 pengunjung memeriahkan program Putrajaya Park’s Day di Taman Wetland termasuk larian SHERUN dengan jarak 3 kilometer (km), 5km dan 8km.