Malaysia Dateline

Usahakan tanaman lain di Felda, saran Mahathir

Kerajaan bercadang mengusahakan tanaman lain yang boleh memberi pulangan bagi meningkatkan pendapatan peneroka Felda ekoran kejatuhan harga getah dan kelapa sawit.

Berucap pada Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2019 di Felda Selancar 3, di Rompin hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pelbagai jenis tanaman yang menguntungkan petani telah dilaksanakan di beberapa negeri sebelum ini.

“Di Pahang ini, saya sudah lihat ada ladang nanas yang besar (dengan keluasan) 200 ekar dan 300 ekar. Sekarang ini ada pula yang menanam durian yang begitu diminati orang di China.

“Di Perlis, Kedah ada tanaman mangga yang juga boleh memberi pulangan kepada petani.

“Ada lain jenis tumbuhan buah-buahan yang boleh beri pendapatan kepada kita setiap hari. Bahkan pokok bunga pun kita boleh jual,” ujar Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengimport sekitar RM60 bilion sayur dari negara asing setiap tahun bagi keperluan negara, yang jelas satu kerugian memandangkan sayuran tersebut boleh ditanam di negara ini.

“Jadi, apabila harga getah, kelapa sawit jatuh, kita masih dapat pendapatan daripada nanas, durian, mangga dan lain-lain tumbuhan.

“Katakanlah 10 peratus tanah yang dicantum ini diusahakan dengan tanaman lain, kita boleh bergantung kepada penjualan sayur dan buah-buahan yang ditanam oleh kita sendiri. Ini akan mengurangkan kita dari bergantung kepada subsidi,” katanya.

 

Cantum tanah Felda 

Selain menanam jenis tumbuhan lain yang boleh mendatangkan pendapatan kepada peneroka, beliau berkata kerajaan merancang menjadikan Felda sebagai sebuah estet besar yang diurus pakar terlatih.

Sehubungan itu, kerajaan akan menyusun semula pentadbiran dan pengurusan ladang milik Felda di seluruh negara bagi melaksanakan langkah tersebut.

Inisiatif itu, jelasnya, perlu bagi membolehkan Felda menghasilkan sumber pendapatan baharu sekali gus tidak terlalu bergantung kepada pendapatan komoditi getah dan kelapa sawit.

“Apabila kita bergantung pada hanya satu jenis tumbuhan saja, bila jatuh maka kita akan menderita, waktu itu kita akan perlukan subsidi.

“Sekarang ini kerajaan tidak beri pun subsidi pada ladang besar (milik swasta) ini, tetapi kalau harga jatuh pun, mereka tidak terlalu rugi sebab mereka miliki ladang yang besar,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, Tun Mahathir menyampaikan Anugerah Ikon Felda kepada Cef Wan atau nama sebenarnya Datuk Dr Redzuawan Ismail yang merupakan anak peneroka di tanah rancangan Felda Sungai Koyan, Lipis, Pahang.

Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) 2018 kepada Felda Selancar 3, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1 juta.

Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Bakke Salleh serta Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar.