Malaysia Dateline

Usahawan Miri desak BNM lanjutkan moratorium pinjaman

Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Miri mendesak supaya Bank Negara Malaysia (BNM) melanjutkan tempoh moratorium pinjaman sewa beli kepada empat bulan lagi.

Menerusi kenyataan Ketua Dewan Muda DUBS Miri, Mohd Hafidz Rohani berkata, saranan tersebut disuarakan memandangkan ramai usahawan dan orang ramai yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos depan.

Tegasnya, langkah melanjutkan moratorium berkenaan adalah wajar untuk memberi peluang kepada usahawan, rakyat dan majikan dapat bangkit semula dalam tempoh yang sukar ini.

“Ini ditambah lagi sektor ekonomi belum dibuka sepenuhnya sekali gus menyebabkan terdapat beberapa perniagaan belum pulih sepenuhnya.

“Malah, kadar pengangguran yang naik mendadak kebelakangan ini akibat langkah pengurangan pekerja telah memberi tekanan kepada orang awam,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Mohd Hafidz berharap dengan tambahan tempoh moratorium itu nanti akan dapat menggalakkan lebih banyak perbelanjaan dalam negara dan meningkatkan sektor pelancongan domestik.

“Selain itu, orang ramai patut diberi pilihan sama ada mahu melanjutkan moratorium, kerana terdapat sektor yang sudah kembali normal,” ujarnya.

Sementara itu, Ahad lalu, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah memaklumkan hanya golongan sasar yang terjejas akan menerima moratorium sekiranya ia dilanjutkan dan bukan lagi automatik kepada semua seperti sebelum ini.

Katanya, kerajaan kini sedang berbincang dengan bank mengenai lanjutan moratorium dan terpulang kepada mereka sama ada boleh melanjutkannya atau tidak.