Malaysia Dateline

Usahawan PKS terjejas teruk, bantuan kerajaan tidak mencukupi

Siri pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu dan kini memasuki fasa 2.0 dilihat menjejaskan pendapatan golongan usahawan.

Namun, peranan kerajaan dalam membantu mereka dilihat tidak menyeluruh ketika gelombang ketiga pandemik Covid-19 begitu hebat menghimpit.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata paling terpukul dengan situasi tidak menentu pada masa ini ialah usahawan, terutama yang terbabit dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Yang kena teruk sekarang ialah PKS yang berdepan ketidaktentuan. Bantuan yang kerajaan beri tidak mencukupi contohnya sektor pelancongan,” katanya dalam bual bicara secara langsung menerusi segmen The Perspektif malam tadi.

Pengerusi PKR Kedah berkenaan menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak memiliki kesungguhan politik dalam usaha memutuskan penularan Covid-19 yang melonjak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September lalu.

“Kalau jaga elok-elok seperti sewaktu gelombang kedua, saya rasa rantaian jangkitan wabak ini sudah dapat kita tangani seperti di New Zealand dan Taiwan

“Namun, saya tidak nampak political will yang jitu. Akibatnya, rakyat terbelenggu dengan pelbagai masalah,” ujarnya.

Mengulas usaha kerajaan Kedah menangani ancaman Covid-19, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, hal itu masih samar berbanding negeri lain.

“Kalau kerajaan negeri Selangor akan beli dos vaksin COVID-19 secara langsung dari pengeluar. Maknanya bukan sahaja bergantung pada kerajaan Pusat.

“Begitu juga langkah sama dibuat Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Keputusan kerajaan-kerajaan negeri terbabit untuk mengawal penularan wabak itu amat pantas.

“Tapi di Kedah tidak pasti. Sampai hari ini saya sebagai rakyat Kedah belum nampak lagi usaha-usaha luar biasa dalam membendung jangkitan apa lagi di kawasan paling teruk iaitu di Kuala Muda,” ujarnya.

Malah, tambahnya, beliau telah meminta pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar memberi perhatian serius kepada kawasan Kuala Muda bagi mengelak jangkitan merebak lebih luas.