Usahlah banding Baju Raya Rahmah kualiti premium dengan harga di pasar malam

Oleh KIM SYAZIE

Marah betul penyokong-penyokong pro Perikatan Nasional apabila segala inisiatif kerajaan mahu ‘dirahmahkan’. Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Baju Raya Rahmah, Tol Rahmah, Simen Rahmah. Semua dipertikaikannya.

“Try hard sangat nak merahmahkan semua benda!,” antara komen yang saya jumpa ditinggalkan di Facebook Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Paling mereka tidak puas hati adalah Baju Raya Rahmah. Untuk pengetahuan, kerajaan pada Mac tahun ini perkenal jualan rahmah membabitkan baju raya Jakel yang berkualiti premium. Premium ya.

Tetapi ada yang mentertawakan menteri Pakatan Harapan kerana Baju Raya Rahmah dianggap masih lagi “mahal”. Mungkin mereka menginginkan harga rahmah RM50 untuk baju berkualiti premium? Mungkin.

Menteri ada menjelaskan, nilai asal Baju Melayu premium yang ditawarkan adalah bernilai RM359. Selepas potongan harga oleh pihak Jakel, ia menjadi RM259. Dan ditambah lagi dengan Jualan Rahmah, baju premium ini hanyalah berharga RM149 sahaja. Penjimatan berganda.

Jadi harga RM149 berbanding nilai asal RM359 adalah munasabah. Ia jadi tak munasabah kalau baju keluaran gedung tekstil terkemuka itu menurunkan sehingga RM50.

Bukan kita je nak untung, mereka pun perlu untung sedikit, lebih-lebih lagi gedung terbesar mereka di Shah Alam baru sahaja terbakar. Walaupun ada yang buat spekulasi pemilik Jakel itu mahu tuntut ganti rugi melalui insurans, itu hal kedua.

Jenama Jakel juga sepatutnya dibandingkan dengan jenama-jenama kian popular seperti Bulan Bintang dan Elrah. Bukan dibandingkan dengan jenama di bazar Aidilfitri, ia tentu jauh berbeza.

Asbab sambutan terlalu menggalakkan dari jualan rahmah ini, semakin banyak pula jenama dan gedung tekstil turut serta buat jualan rahmah.

Contohnya, Mydin, F.O.S, jenama tempatan seperti Liyana Collection (LYC) dengan harga serendah RM35, Nabella Butik (RM39), Duchess Exclusive dan Qamraa masing-masing (RM59).

Bukan itu sahaja, jualan raya rahmah juga terus berkembang apabila ada butik anak tempatan menjual kasut raya rahmah serendah RM20 sepasang.

Sudah tiba satu peringkat di mana rakyat perlu terus menyokong usaha baik kerajaan yang pastinya bukan untuk manfaat mereka, tetapi kita. Abaikan sahaja kecaman pembangkang. Kita perlukan kritikan membina bukan kritikan mencerca.

Baca juga: Balik cuma setahun sekali, anak perantau jangan banyak ‘complaint’ pada adik beradik yang jaga ibu ayah