Pelawak, Achey mengakui anak angkatnya iaitu Tiara bukan sahaja mengubah kehidupannya tetapi turut mengubah rezeki mereka sekeluarga.
Dia tidak menyangka puteri kesayangannya itu telah menambat hati rakyat Malaysia pada usia yang muda.
Malah Achey tidak menyangka Tiara hanya mengambil masa enam tahun sahaja untuk dikenali berbanding dirinya yang perlu menempuh perjalanan panjang selama 14 tahun untuk dikenali dalam industri seni.
“Enam tahun yang lalu, kehadirannya bukan sahaja mengubah cara hidup kami, tetapi juga membawa rezeki dari sudut yang berbeza.
“Dalam tempoh enam tahun ini, dia telah memecahkan rekod saya dalam industri selama 14 tahun. Popularitinya mengatasi saya,” kata Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, memetik majalah Pa&Ma.
Tiara dikenali sejak mula menjual gula-gula murah di TikTok yang diuruskan sendiri oleh Achey bersama isterinya.
Tiara pernah memecahkan rekod 3,000 bungkus gula-gula habis terjual dalam tempoh dua jam ketika bersiaran langsung baru-baru ini dengan purata 21juta tanda suka direkodkan sepanjang siaran itu berlangsung.
Kata Achey, kehadiran Tiara benar-benar memberi kegembiraan luar biasa buatnya dan isteri.
“Kehadiran Tiara membawa kegembiraan yang luar biasa kepada kami, dan kami sangat bersyukur dapat mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada Tiara,” katanya lagi.
Achey dan isteri Nor Hasanah Yahaya sepakat mengambil anak angkat perempuan iaitu Tiara pada Mei 2018 selepas 8 tahun tahun mendirikan rumah tangga.
Baca juga: Dewi umum letak jawatan daripada Pizza Wagyu Jofliam