Usia muda bukan masalah Aiman dipilih jadi wakil rakyat, kata Mahathir

Usia muda bukan masalah Aiman dipilih jadi wakil rakyat, kata Mahathir

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan umur calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih Muhammad Aiman Zainali, 30, bukan masalah untuk dipilih menjadi wakil rakyat.

Beliau berkata walaupun muda, Muhammad Aiman mempunyai barisan kepimpinan negeri dan pusat berpengalaman untuk membantu beliau menjalankan tugas.

“Nampak dia mudalah, muda sikit daripada saya. Tapi walaupun muda di belakangnya banyak orang yang tua-tua, yang tua sekali pun ada sampai 93 tahun tak berhenti-henti bercakap,” kata Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sambil merujuk kepada usianya sendiri.

“Kita nak bantulah generasi muda ini, orang muda lama-lama dia tua, jadi masa muda ini masa latihan dan dia akan dapat panduan, tunjuk ajar dan sokongan daripada generasi yang tua,” katanya ketika berucap pada majlis Santai 2-Roda Semenyih bersama kelab permotoran sekitar Semenyih pada Khamis..

Turut hadir Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz  Mahathir, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Muhammad Aiman.

Dr Mahathir menegaskan wakil rakyat daripada PH mampu melaksanakan pelbagai agenda untuk rakyat kerana gabungan itu kini mentadbir negara.

“Tetapi kalau (pilih) wakil rakyat pembangkang, dia tidak boleh buat apa, kami tahulah kerana kami dulu dari parti lawan. Bercakap bolehlah, (boleh) marah orang, tetapi nak buat apapun tak boleh sebab tidak ada kuasa,” katanya.

Beliau berkata kerajaan PH juga mahu melakukan perubahan termasuk menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun dan memendekkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal, namun ia memerlukan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.

“Kita akan pinda perlembagaan tetapi bukan nak pinda nak buang raja, nak sekat raja, itu tidak ada, yang itu kekal macam itulah,” katanya.

Katanya, PRK Dun Semenyih boleh menjadi penggerak kepada sokongan rakyat dalam mencapai majoriti dua pertiga berkenaan.

PRK Semenyih diadakan Sabtu ini berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

Ia menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Aiman, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

Dalam pada itu, Dr Mahathir melahirkan rasa hairan dengan tindakan sesetengah pihak yang menggelarkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ‘bossku’.

Katanya, hal ini kerana di sebalik imej ‘bossku’ yang ditonjolkan, bekas perdana menteri itu merupakan pemimpin yang terpalit dengan pelbagai skandal.

Najib menghadapi pelbagai tuduhan di mahkamah seperti pecah amanah, salah guna kuasa untuk sogokan dan pengubahan wang haram.— BERNAMA