Malaysia Dateline

Usia tujuh tahun sudah ‘tarik bulan’

Murid sekolah rendah majoriti Melayu didapati ramai ketagih hidu ‘gam’.

Beberapa kanak-kanak termasuk seorang yang berusia tujuh tahun didakwa turut menghidu gam atau ‘tarik bulan’ di sekitar Banda Hilir Melaka.

Pendedahan oleh seorang remaja berusia 17 tahun di akhbar Harian Metro hari ini juga memberitahu terdapat 17 ahli kumpulan mereka yang aktif menghidu gam juga mengutip upah menjaga parkir kenderaan di lokasi tersebut.

Dia yang ketagihan menghidu gam sejak dua tahun lalu pernah ditangkap dan dikurung di rumah oleh abangnya yang bekerja sebagai anggota keselamatan.

Menurut remaja berasal dari Sabah itu, kegiatan menghidu gam basikal jauh lebih ‘power’ (mengkhayalkan) berbanding dadah dan minuman keras.

Mereka juga boleh berkongsi bahan merosakkan itu dengan menjadikan bangunan rumah kedai tinggal di beberapa lokasi berasingan sekitar Banda Hilir sebagai tempat melepaskan gian dan tidur.

“Setakat ini kami tak pernah terputus bahan sebab pasti akan ada saja orang yang beri duit sebagai upah jaga parkir,” ujarnya ketika ditemui pemberita semalam.

Seorang lagi penghidu gam berusia 27 tahun dilapor berkata, dirinya telah beberapa kali disumbat ke lokap polis tetapi ketagihannya masih tidak hilang.

Dia juga memberitahu, pihak berkuasa tidak mampu mengenakan tindakan lebih daripada itu memandangkan kegiatan menghidu gam tidak tergolong sebagai kesalahan dalam Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kalau kena tangkap pun, esok lusa kami dah keluar semula dan terus hisap gam. Nak dakwa kami ambil dadah atau mabuk arak pun tak boleh,” dipetik daripada Harian Metro.

Kumpulan terbabit turut dikatakan merekrut anggota baru terutama remaja, tidur di kaki lima atau bangunan lama dengan bekalan gam yang tidak putus selain makanan percuma daripada sebuah pertubuhan agama.

Penagihan gam sukar dibanteras kerana bahan itu mudah dibeli manakala peranan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam membantu aspek pemulihan masih bergantung atas permintaan keluarga.

Gam setakat ini dimasukkan dalam jadual Akta Racun 1952 tetapi peningkatan kes menghidu gam dalam kalangan remaja semakin membimbangkan.

Bungkusan plastik berisi getah gam cair sentiasa bersama penagih bahan berbahaya itu yang lazimnya tampil berkeadaan khayal dan tidak terurus.

Penagihan gam bukan satu masalah sosial baharu tetapi kembali mendapat perhatian orang ramai susulan kes Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Azizan Manap, 44, yang dihadapkan ke mahkamah selepas mendenda muridnya kerana kesalahan menghidu gam.

Murid lelaki Darjah 5 di Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai itu turut dikatakan mempengaruhi rakan, buli, memukul murid serta ponteng sekolah.

Bagaimanapun, Cikgu Azizan didakwa menyebabkan kecederaan pada pipi kiri murid itu di hadapan tapak perhimpunan sekolah pada jam 7 pagi, 6 April lalu.

Semalam, beliau dilepas tanpa dibebaskan di Mahkamah Majistret Seremban dengan lebih 300 guru dan penduduk sekitar Taman Semarak hadir bagi memberi sokongan moral.