Penghasilan klip video menerusi projek kesedaran komuniti tentang isu semasa bidang kewartawanan sangat memberi inspirasi kepada pelajar dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) serta Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Walaupun kursus kewartawanan bukan kursus utama bagi pelajar FPBU, tugasan yang diberikan oleh pensyarah membuktikan bidang kewartawanan ini sangat difahami oleh pelajar dengan baik apabila 20 juri telah memberikan pemarkahan tinggi bagi semua tugasan bagi meraih kategori anugerah yang disediakan atas inisiatif pensyarah.
Seramai 250 pelajar dengan 120 kumpulan dari FKP dan FPBU yang mengambil kursus Prinsip Kewartawanan telah melaksanakan tugasan masing-masing antaranya menyiapkan klip video berdurasi 10 minit mengenai tugas seorang wartawan dengan tema ‘A Day With A Reporter’ (Sehari Bersama Pemberita) dan menemubual orang ramai melalui kempen kesedaran mengenai peranan media konvensional dan media sosial.
Sebanyak 19 Anugerah utama telah diberikan kepada pelajar yang berjaya menambat hati juri dalam 6 kategori Anugerah utama.
Kategori tersebut ialah satu pemenang bagi kategori Anugerah Booth Paling Kreatif; Anugerah Berkumpulan Terbaik (1); Anugerah Lencana Media Terbaik (1); Anugerah Projek Kesedaran Komuniti Terbaik(3); Anugerah Pilihan Industri (1) dan; Anugerah Sehari Bersama Pemberita (10).

Kordinator kursus sempena Grand Presentation ACJ3013, Dr Siti Suriani Othman, dari FKP, berkata, aktiviti luar kampus ini diadakan bagi pelajar tahun 3 di universiti itu.
Ia bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar di lapangan bagi mengetahui lebih dekat tugas seorang pemberita atau wartawan sehingga sesuatu bahan berita itu disiarkan di media cetak atau media elektronik.
“Harapan kami adalah untuk melahirkan wartawan dalam kalangan pelajar FPBU yang berminat dalam bidang kewartawanan ini.
“Tugasan diberikan adalah untuk pelajar mendapatkan sinergi dengan masyarakat dan memahami selok belok bidang kewartawanan yang sebenar.
” Grand Presentation ACJ3013 ini adalah acara kemuncak yang diadakan untuk kali ketiga sejak mula diperkenalkan pada 2016 lalu.
“Kita pernah bekerjasama dengan Malaysian Press Institut (MPI) dan kini kita buka kepada pemain industri untuk turut bekerjasama dengan universiti untuk membantu pelajar menyiapkan projek mereka,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline selepas majlis diadakan di lobi Perpustakaan USIM pada Jumaat.

Sempena ACJ3013 ini empat pemain industri dijemput sebagai juri iaitu dari Malaysia Dateline yang diwakili Pengarang Berita Dalia Ismail; Wartawan Mohd Fahd Rahman dari Harian Metro, Tuti Harianti Radzi wartawan Berita Harian dan Aqidah Azizi Pengarang News Strait Times.
Pada November lalu tiga kumpulan pelajar dari FPBU telah hadir ke Dateline Media Grup untuk menyiapkan projek mereka ‘A Day With A Reporter bersama wartawan Malaysia Dateline Siti Nur Zawani Miscon, Akmal Manaf dan Penolong Pengarang Berita Salmiah Harun.
Tonton video di bawah:

Manakala 16 lagi juri terdiri dikalangan pensyarah-pensyarah FKP dan FPBU.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Dr Rosninawati Hussin selaku Ketua Program Komunikasi FKP.
Beliau berharap program sebegini akan dapat diteruskan dengan kerjasama pihak industri di masa akan datang.
KEPUTUSAN:
1. Anugerah Lencana Media Terbaik dimenangi kumpulan TBA 6
2. Anugerah Booth Paling Kreatif dimenangi kumpulan FKP
3. Anugerah Berkumpulan Terbaik dimenangi kumpulan: TBA 10
4. Anugerah Pilihan Industri dimenangi kumpulan: TBA1
5. (3) Anugerah Kesedaran Komuniti dimenangi kumpulan: TBA7, TBA10 dan; TAC Grup 2
6. (10) Anugerah Sehari Bersama Pemberita dimenangi kumpulan: TBA1 Grup 6; TBA1 Grup 7;TBA1 Grup 8;TBA1 Grup 9;TBA3 Grup3; TBA1; TBA9 Grup 7;TBA5 Grup 7; TBA9 Grup 4 dan; TAC Grup 5.
