Malaysia Dateline

USIM setuju beri lima hari tempoh bertenang kepada mahasiswa

Universiti Islam Sains Malaysia (USIM) bersetuju untuk memberikan tempoh bertenang selama lima hari dan kelonggaran kepada semua mahasiswa dari mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), ekoran bencana banjir yang melanda negara sejak Jumaat lalu.

Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin, berkata, tempoh bertenang telah bermula semalam hingga Jumaat ini iaitu 20 hingga 24 Disember 2021.

Menurutnya, fakulti boleh menangguhkan kuliah atau dibuat secara tidak segerak dengan bahan mengajar dimuat naik dalam Sistem Global Open Access Learning System (GOALS) tertakluk kepada keperluan program pengajian tertentu.

“Kaedah pelaksanaan PdP juga tertakluk kepada fakulti masing-masing berdasarkan keperluan program pengajian termasuk aktiviti pentaksiran seperti kuiz, ujian pertengahan semester dan penghantaran kerja kursus.

“Semua pelajar yang terkesan dengan bencana banjir boleh menghubungi fakulti masing-masing untuk maklumat terkini berkaitan aktiviti PdP.

“Fakulti akan memastikan penyampaian program pengajian adalah berkesan dan mencapai kualiti program yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Mohamed Ridza berkata, fakulti akan terus memastikan aspek kebajikan pelajar diberi perhatian agar kesihatan fizikal dan mental pelajar sentiasa berada dalam tahap yang baik.

Fakulti juga katanya akan memantau secara berterusan dan menyediakan pelan tindakan bagi menangani isu-isu berbangkit.

“Bilik Operasi Bantuan Banjir USIM beroperasi di Pusat Sukan USIM bagi menyelaras bantuan berkaitan banjir dan sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi talian 012-667 7628 60 (En. Nur Ekmal Buhary) atau 011-3636 8191 (En. Hafez Fikri Adimat),” katanya.