Malaysia Dateline

USM jadi perhatian, cabar pelajar main TikTok musim Covid-19

Sejak semalam, Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi perhatian selepas memuatnaik cabaran Tiktok Challenge yang merupakan anjuran Majlis Perwakilan Pelajar universiti di utara tanah air itu.

Pertandingan itu dikatakan bagi memenuhi hari para pelajar yang dianggap bosan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.

“Bosan sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan? Penat menonton movie dan bermain game? Jangan risau. Majlis Perwakilan Pelajar mencabar semua untuk menyertai pertandingan ini.

“Kami terima sebarang cabaran video TikTok sebelum tarikh akhir 6 April, pukul 12 malam,” tulisnya di laman Facebook MPP USM.

Pada masa sama, cabaran yang perlu di muatnaik hanya di Facebook dan Instagram itu mengundang pelbagai komen pengguna media sosial itu antaranya yang mengkritik cabaran itu sebagai memalukan.

Pertandingan itu menarik perhatian bekas aktivis mahasiswa, Ashraff Nazrin yang berkata, dalam keadaan Malaysia sedang berharap adanya kajian saintifik untuk vaksin atau penawar Covid-19, rakyat disajikan pula dengan video TikTok.

“Patutlah bila kerajaan umum kebebasan berakademik, kebebasan pilihanraya, nak mansuh AUKU (Akta Universiti Kolej Universiti), mereka bukan main peduli.

“Bukan masalah AUKU atau kerajaan pun. Memang pelajar ini bangang-bangang belaka,” bidasnya.

Ada juga pengguna yang meninggalkan komen terkejut, ‘Serius lah MPP USM?’

Dengan slogan “Memartabat Mahasiswa, Melestari Universiti” yang turut diselit sama dalam iklan pertandingan itu, TikTok Challenge itu juga dibuka kepada semua pelajar USM yang tinggal di dalam atau di luar kampus.

Tidak kurang juga, cabaran tersebut mendapat perhatian daripada pelajar USM sendiri yang mahu menyertai pertandingan itu.

Pengguna Facebook Fatin Aiman berkata, “Inilah masanya untuk mereka menyerlah. Ada juga yang berkata, mengapa tidak mencuba.

“Selagi ianya diguna untuk tujuan yang baik, ia sepatutnya okay sahaja. Jangan tumpukan pada sisi gelap sahaja. MPP kami tentunya lebih tahu apa yang mereka lakukan,” tulis Teoh Sin Yee.