Malaysia Dateline

Ustaz Arab ini dedah 3 perkara indah tentang Muslim di Malaysia yang tiada di negaranya

Ustaz Mohib Khouli berkata terdapat tiga perkara berkaitan akidah masyarakat Muslim yang menyebabkan semangatnya berkobar-kobar dan menganggap sebagai perkara yang paling indah di Malaysia.

Beliau yang fasih bercakap dalam bahasa Melayu itu berkata, hal tersebut jauh berbeza dengan keadaan umat Islam di negara Arab terutama di Jordan dan Syria apabila mereka tidak dapat membezakan antara orang Muslim dan kafir.

Pertama, katanya, orang Islam di Malaysia sangat faham perbezaan antara orang Muslim dan kafir berbanding di negara Arab, ramai orang Islam tidak faham hal tersebut sampai sekarang.

“Orang Islam di Malaysia tahu perbezaan orang Muslim dan kafir. Mereka tahu batasan dan dalam masa sama tetap menghormati orang bukan Islam.

“Ini perkara yang paling indah, istimewa dan paling menenangkan hati saya mengenai orang Islam di Malaysia,” katanya dalam satu sedutan video yang dimuat naik di Youtube.

Menurutnya, yang telah mendirikan rumahtangga dengan wanita Melayu dari Besut pada 2001 itu, orang Islam di Malaysia tidak akan memberi salam kepada orang bukan Islam.

“Dia (orang Islam di Malaysia) hormat (orang bukan Islam), boleh hidup harmoni bersama, hidup berjiran dan menghormati kebebasan tetapi langsung tidak mengucapkkan Assalamualaikum (kenapa bukan Islam). Kenapa? Orang Islam di Malaysia tahu bahawa mereka bukan Islam.

“Selagi belum mengucap dua kalimah syahadah, selagi itu kita tidak boleh menganggap dia sebagai saudara.

“Tapi hal ini tidak jelas di negara Arab. Hal ini tidak dididik di sekolah-sekolah kebanyakan negara Arab khususnya di Jordan.

“Walaupun rakyat Jordan yang beragama Kristian tidak sampai 10 peratus tetapi Kristian di Jordan sangat mengelirukan orang Islam.

“Contohnya, apabila seorang Kristian meninggal dunia, orang paling awal pergi mengucapkan takziah dan memohon pengampunan adalah orang Islam sedangkan tidak boleh,” jelasnya.

Menerusi sedutan video berdurasi 13 minit itu, Ustaz Mohib menegaskan bahawa apabila orang kafir meninggal dunia, orang Islam tidak boleh mengucapkan sebarang perkataan seperti “rahimullah” kerana Allah SWT telah melarang berbuat demikian seperti termaktub dalam surah al-Taubah yang antara lain berkaitan dengan larangan memohon rahmat Allah ke atas orang kafir.

Kedua, jelasnya, adalah kecintaan orang Islam di Malaysia terhadap al-Quran apabila sangat suka serta tiada bantahan terhadap segala yang berkaitan al-Quran.

“Saya suka sangat dengan Malaysia ini, orang Islam di Malaysia sangat menyayangi al-Quran.

“Walaupun masyarakat Melayu (ramai) tidak faham (makna bacaan dalam) al-Quran tapi dia cinta al-Quran sebab mereka tahu ini kalamullah. Ini daripada Allah SWT yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad SAW.

“Tapi sedihnya di negara Arab, khususnya di Jordan, mereka tidak menghargai al-Quran. Bahkan, kita boleh jumpa orang Arab yang menghina al-Quran.

La hawla wala quwwata Illa Billah (Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata),” ujarnya.

Ketiga, kata pemilik nama sebenar, Mhd Mohib Khouli Nazam, 45, itu, tiada kezaliman yang melampau di Malaysia apabila masih ada ruang untuk menyampaikan dakwah dengan al-Quran dan sunnah.

“Walaupun ada ustaz tuduh ustaz lain sebagai wahabbi dan sebagainya, tapi Alhamdulillah kelebihan di Malaysia ada sistem undang-undang yang tidak akan menzalimi atau menindas mana-mana orang.

“Alhamdulillah. Ini satu nikmat yang sangat terindah. Inilah perkara yang saya sangat hargai di Malaysia iaitu Islam boleh disebarkan dengan dakwah, hikmah, al-Quran dan sunnah,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, Ustaz Mohib berharap supaya umat Islam di Malaysia tetap memahami prinsip akidah iaitu meletakkan kecintaan terhadap Allah dan Rasul paling atas tanpa perlu memohon rahmat untuk orang kafir.

“Paling penting mesti menanamkan perbezaan antara orang Muslim dan orang kafir. Mudah-mudahan Allah SWT kekalkan keadaan ini.

“Doalah semoga Allah SWT jaga negara ini kerana negara Arab sekarang ini sangat kucar-kacir. Demi Allah saya cakap di mana orang Islam dan Kristian tidak nampak beza.

“Musuh Islam sedang membina berhala paling besar di Abu Dhabi yang dipanggil Abrahamic (Family) House.

“Ini untuk menjatuhkan Islam, menggabungkan Yahudi, Nasrani dan Islam dalam satu agama baru… Islam makin diancam di negara Arab,” tambahnya lagi.

Baca juga Kemaruk negara Arab berbaik dengan Israel

Abrahamic Family House di Abu Dhabi ditegaskan sarjana sebagai agenda halus untuk memerangi Islam.