Malaysia Dateline

Ustaz Budak ditahan lagi selepas terima laporan baru

Seorang pengetua madrasah yang didakwa di mahkamah baru-baru ini, ditahan semula selepas polis menerima dua laporan perbuatan cabul yang dilakukan terhadap dua bekas pelajar lelakinya pada 2018.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, Ustaz Budak atau nama sebenarnya Syamsul Zaman Sukri, 32, ditahan pada semalam dan direman tiga hari bermula hari ini.

Katanya, penahanan itu dilakukan susulan pihaknya menerima dua laporan polis terhadap suspek dibuat di Balai Polis Kuang, Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Balik Pulau, Pulau Pinang.

“Laporan polis berkenaan dibuat di Selangor dan Pulau Pinang. Kedua-dua mangsa adalah bekas pelajar suspek yang belajar di pondok di Machang,” katanya seperti dipetik Harian Metro

Beliau berkata, mengikut keterangan mangsa, kejadian berlaku kira-kira 1 pagi pada Mei 2018 selepas selesai ceramah di Terengganu dan mangsa bersama enam rakan dikatakan diarah mengikut suspek balik ke rumahnya.

“Mangsa diarahkan oleh suspek untuk tidur bersamanya di dalam bilik kerana mahu menjalankan rawatan Islam terhadap diri mangsa yang mengalami sakit gangguan,” katanya.

Ketika di dalam bilik itu, suspek meminta mangsa membuka seluar dan melakukan seks oral. Kejadian yang sama berulang sebanyak dua kali di tempat yang sama selang beberapa hari daripada kejadian pertama, katanya.

Mengulas lanjut Shafien berkata, keterangan mangsa kedua pula memaklumkan kejadian berlaku kira-kira 11 malam pada November 2018 di bilik asrama sekolah pondok berkenaan.

“Kejadian sama berulang sebanyak dua kali di kediaman suspek sebulan selepas kejadian pertama itu.

“Justeru itu, kita membuat penahanan untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 377D Kanun Keseksaan,” katanya.