Malaysia Dateline

Ustaz Budak kena dakwa lagi, dua pelajar jadi mangsa seterusnya

Pendakwah dikenali sebagai Ustaz Budak yang sentiasa membela Pas dan menyerang parti AMANAH, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Machang dan Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Khamis semalam atas pertuduhan jenayah seksual terhadap dua bekas pelajar lelaki.

Tertuduh, Syamsul Zaman Sukri, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Amal Razim Alias dan Hakim, Shahrul Rizal Majid, lapor Sinar Harian.

Tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap bekas pelajar terbabit yang berusia 22 tahun di sebuah rumah di Kampung Awah, Paloh Rawa, Machang, jam 1 pagi pada Mei 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Majistret Amal Razim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan sebutan kes pada 1 Februari tahun depan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pula, Syamsul Zaman didakwa meraba seorang lagi bekas pelajar lelaki berusia 15 tahun, jam 10 pagi pada 22 Ogos 2018 di rumah sama.

Hakim Shahrul Rizal membenarkan dia diikat jamin RM20,000 dengan dua orang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan sebutan kes pada 28 Januari depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam, Sharudddin Mohamed, lapor media itu lagi.

Pada 21 Disember lalu tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun termasuk mencium pipi mangsa pada jam 1.15 pagi, 16 Disember lalu di sebuah bilik hotel dekat Kota Bharu.