Malaysia Dateline

Ustaz celebriti, penceramah agama perlu beramanah, kata Mujahid

Individu yang bergelar penceramah termasuk ustaz selebriti perlu beramanah dalam menyampaikan ilmu bagi memastikan kesahihan sesuatu hadis yang disampaikan dengan tidak menyalahtafsirkan hadis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, elemen itu penting supaya mereka berdisiplin dan tidak sewenang-wenangnya mentafsirkan hadis hanya berpaksikan kepada akal fikiran tanpa memaknai hadis itu dalam bahasa Arab yang betul.

“Ia juga boleh mengelakkan berlaku penyebaran hadis palsu dalam kalangan masyarakat dan situasi itu juga tidak akan berlaku sekiranya golongan yang dikenali sebagai ustaz selebriti ini memperkemaskan dan mendalami bahasa Arab yang juga bahasa al-Quran

“Ini kerana mereka perlu tahu golongan yang menonton mereka juga terdiri dalam kalangan mereka yang berilmu,” katanya selepas menyampaikan ucapan pada World Zakat Forum (WZF) kali ketujuh di sebuah hotel di Banda Hilir semalam lapor Sinaronline.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan sentiasa menyarankan jabatan agama Islam di setiap negeri untuk memantau supaya ustaz yang dianggap sebagai ‘merapu’ dalam menyampaikan ilmu dan tidak memberi faedah dari sudut keilmuan yang beramanah ini, diambil tindakan yang sewajarnya termasuk menarik balik pentauliahan berceramah serta mengajar agama yang diberikan jabatan agama Islam negeri masing-masing.

“Mereka kena ingat yang mereka cakap seperti di YouTube dan sebagainya, orang yang tengok juga ada ilmu.

“Tindakan menyalahtafsirkan hadis bukan sahaja satu perkara yang salah malah ia juga akan menimbulkan pelbagai persepsi sehingga boleh mengundang kepada perpecahan masyarakat dan pemikiran yang sempit,” katanya.

Mujahid berkata, bagaimanapun tidak semua ustaz selebriti yang dianggap merapu, malah banyak juga mereka yang berceramah dengan mempunyai ilmu yang tinggi dan golongan seperti ini yang perlu diperbanyakkan.

“Sepatutnya ada satu perjumpaan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan ustaz-ustaz selebriti di negara ini yang patut dianjurkan kira-kira dua minggu lalu, namun ia tidak dapat dilaksanakan pada musim cuti sekolah ini dan akan diadakan pada tarikh lain,” katanya.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial mengenai beberapa ustaz selebriti yang menyatakan dan mentafsirkan perkataan Melayu itu telah terdapat dalam al-Quran selain Nabi Adam AS turun di atas Gunung Jerai.