Ustaz di Klang pukul belakang, dada pelajar tahfiz

Ustaz di Klang pukul belakang, dada pelajar tahfiz

Belum reda kematian pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin di Kota Tinggi akibat dipukul pembantu warden hangat diperkatakan, satu lagi kes pukul berlaku di Klang, Selangor.

Kali ini didakwa dilakukan seorang ustaz yang bukan sahaja mendera bahkan mengancam untuk mengenakan hukuman lebih berat jika perkara itu dimaklumkan kepada ibu bapa kanak-kanak lelaki tersebut.

Muhammad Resan Abdullah, 11, memberitahu ustaz tersebut mengugut bahawa dirinya tidak akan mampu menghafal ayat al-Quran jika mengadu.

“Dia juga berkata otak saya tidak akan dapat menghafal al-Quran jika saya mengadu tentang apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, ibu kanak-kanak tersebut, Suraya Fatima Abdullah berkata, ustaz terbabit telah didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Bagaimanapun apabila membaca nasib malang menimpa Thaqif, beliau telah menghubungi peguamnya untuk mengkaji semula kes tersebut.

“Dia sebaya dengan anak saya. Saya fikir apa yang berlaku kepada anak saya adalah kes terpencil tetapi nampaknya tidak.

“Kami telah bercakap dengan peguam kami untuk melihat apa yang boleh kami lakukan,” ujar Surya.

Menurut laporan perubatan, Muhammad Resan dikatakan mempunyai pelbagai kesan lebam di bahagian belakang dan dada.

Pada masa sama, kanak-kanak berusia 11 tahun itu turut menghidap sembelit yang teruk kerana rendahnya pengambilan serat dan cecair.

“Anak saya dirawat di Hospital Klang (Hospital Tengku Ampuan Rahimah) selama dua minggu,” kata Suraya lagi.

Sehubungan itu, beliau mendesak kekerasan fizikal terhadap kanak-kanak sekolah tahfiz tidak harus dibiarkan.

“Penderaan seperti ini perlu dihentikan. Ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama untuk mendapatkan pengetahuan dan menjadi Muslim yang baik, bukan untuk dipukul seperti ini,” tambahnya lagi.

TAGS