‘Ustaz jari tengah’ pohon maaf kepada Najib

‘Ustaz jari tengah’ pohon maaf kepada Najib

Penceramah, Ustaz Ahmad Husam Baderudin memohon maaf secara peribadi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana terlalu percaya terhadap fitnah yang dilemparkan kepada beliau sebelum ini.

Menerusi siaran langsung dalam akaun Facebook miliknya, beliau yang juga digelar ‘ustaz jari tengah’ turut memberitahu membawa hasrat individu yang ditemuinya supaya berbuat demikian.

“Datuk Seri, saya minta maaf apa yang saya percaya dahulu dan mungkin ada lagi seingat saya pernah berucap di hadapan awam mungkin sedikit sebanyak mencalarkan imej Datuk Seri pada waktu itu.

“Mungkin saya tak dapat nak sebut satu persatu Datuk Seri, sebab banyak, ada yang jumpa saya di ceramah, ada yang menangis minta saya sampaikan permohonan maaf mereka kepada Datuk Seri,” katanya semalam.

Terdahulu, Ahmad Husam yang sebelum ini mendakwa kalimah Melayu diambil dari al-Quran itu pernah mengeluarkan kenyataan mengkritik polisi kerajaan terdahulu.

Ahmad Husam yang juga penyokong Pas itu turut menggesa rakyat untuk menukar pemimpin baharu dalam pilihan raya umum.

Mengulas permohonan maaf itu, Najib dalam reaksinya memaafkan Ahmad Husam termasuk seluruh rakyat Malaysia.

“Saya ucap terima kasih kepada ustaz kerana begitu ikhlas dan Allah telah membuka hati ustaz berjumpa dengan saya.

“Saya dengan senang hati dan hati terbuka menerima kemaafan ustaz kerana saya faham kita manusia biasa terdedah kepada macam-macam fitnah,” ujar Ahli Parlimen Pekan itu.

Untuk rekod, Ahmad Husam dikenali sebagai penceramah kontroversi termasuk menunjukkan jari tengah ketika berceramah dalam Masjid Permatang Berangan di Sungai Petani pada 2015.

Anak bekas Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad itu juga pernah dilarang berceramah di Masjid Bandar Putri Jaya, Sungai Petani.

Tular di media sosial juga seruan Ahmad Husam supaya orang Melayu bersepakat dengan mendakwa perkataan Melayu dipetik daripada perkataan mala’ul a’la.

Walau bagaimanapun, perkataan itu sebenarnya merujuk kepada perkataan “malaikat” dalam al-Quran.