Malaysia Dateline

Ustaz Kazim antara 16 nama dilarang berceramah, khutbah di Pulau Pinang

Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menamakan pendakwah terkenal, Datuk Kazim Elias atau Ustaz Kazim antara 16 individu yang dilarang untuk mengadakan ceramah, khutbah atau majlis-majlis ilmu di negeri Pulau Pinang.

Selain ustaz Kazim, pakar hadis, Dr Muhamad Rozaimi Ramle juga antara dilarang mengadakan sebarang ceramah berikutan tidak mempunyai tauliah mengajar daripada MAINPP.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis dengan menyenaraikan kesemua individu tersebut selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam.

Pekeliling tersebut telah dikeluarkan pada 4 November 2022.

“Kita telah menerima aduan awam dan mendapati, 16 individu ini tiada tauliah mengajar daripada MAINPP.

Oleh itu, pihak penganjur adalah dilarang daripada menjemput senarai 16 individu tersebut untuk menyampaikan ceramah, khutbah atau majlis-majlis ilmu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara 16 nama lain termasuklah; Ustaz Kazim, Shaharudin Ibrahim, Datuk Ahmad Husam Baderudin, Wan Hizam Abdullah Sabil, Yusni Mat Piah, Shahrir Long, Sobri Arshad, Aiman Subri, Ahmad Dusuki Abdul Rani, Afnan Hamimi Taib Azamudden, Profesor Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle, Salman Ali, Maulana Fakhrurrazi, Mohd Rizal Azizan, Halim Hassan dan Dr Abdullah Yassin.

Kata MAINPP lagi, mana-mana pihak yang tidak mematuhi arahan tersebut, boleh dikenakan denda atau penjara.

“Sekiranya gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan MAINPP, implikasinya akan dikenakan kepada kedua-dua pihak iaitu terhadap penceramah dan penganjur.

“Kedua-duanya akan dikenakan tindakan yang mana, penceramah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.