Ustaz Kazim beri kerjasama dakwaan cabul di madrasah miliknya

Ustaz Kazim beri kerjasama dakwaan cabul di madrasah miliknya

Pendakwah Datuk Mohd Kazim Elias akan memberi kerjasama penuh kepada polis melakukan siasatan berhubung dakwaan pencabulan seksual dan seks luar tabii di Maahad Tahfiz Darul Barakah miliknya.

Sebagai Pengetua dan Pengasas Pusat Pendidikan Al Barakah, katanya jika perkara itu terbukti berlaku, beliau dan warga sekolah akan menyerahkan individu terbabit kepada polis walaupun individu itu merupakan darah dagingnya sendiri.

“Kami berikrar untuk tidak berkompromi di dalam apa jua cara sekiranya benar insiden tersebut berlaku. Ini adalah tangunggjawab kami sebagai seorang muslim dan warganegara yang baik,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut Mohd Kazim yang lebih mesra dipanggil Ustaz Kazim, pihaknya memiliki dokumen-dokumen berpaksikan keterangan saksi, rakaman video termasuk perjumpaan bersama ibu bapa pelajar yang didakwa menjadi mangsa pencabulan itu berserta surat-surat berkaitan bagi kes itu.

“Kesemua bukti tersebut akan diserahkan kepada peguam kami,” katanya dan menurutnya beliau akan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh petang ini berhubung kes berkenaan.

“Sebagai seorang penceramah bebas saya sentiasa dikecam, difitnah dan diprovokasi dan saya berlapang dada mengenainya. Walaubagaimanapun, isu ini tidak lagi melibatkan saya bahkan Islam Ad-Din dan hufaz-hufaz muda di sini,” katanya.

Mohd Kazim berkata siasatan dalaman dijalankan pihak sekolah pada cuti pertengahan sekolah tahun ini mendapati kes pencabulan yang didakwa berlaku pada April lalu itu tidak pernah terjadi.

Beliau juga menafikan ada mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan terhadap ibu bapa mangsa seperti didakwa dan menurutnya itu merupakan fitnah.

“Pelajar tersebut tidak pernah dibuang sebaliknya berhenti daripada sekolah kami pada 11 Julai lepas atas pilihan ibu bapanya sendiri dan tidak disebut langsung bahawa dia dicabul atau sebagainya.

“Saya mengganggap perkara ini telah selesai selepas mengadakan pertemuan bersama pelajar itu dengan pelajar yang dituduh mengatakan bahawa tidak berlaku aktiviti liwat dan sebagainya,” katanya.

Mohd Kazim berkata pelajar lelaki berumur 10 tahun yang mendakwa menjadi mangsa kejadian itu memang mempunyai masalah disiplin dan pernah menerima tiga surat amaran daripada pihak sekolah.

Katanya pihak sekolah turut memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekolah termasuk asrama demi keselamatan pelajar-pelajarnya.

“Asrama pelajar sekolah rendah berasingan dengan pelajar-pelajar remaja. Pelajar berumur 12 tahun ke bawah mereka diasingkan dan dijaga dua orang pelajar senior sebagai ketua asrama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau melihat dakwaan itu adalah cubaan untuk mencemarkan nama dan pusat pendidikannya dan akan berbincang dengan peguamnya untuk mengambil tindakan seterusnya.

Rabu lepas, Ketua Polis Perak Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata polis telah mengambil keterangan daripada 10 individu termasuk pelajar, pengadu dan pihak sekolah terbabit.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 377E iaitu merangsang seorang kanak-kanak (di bawah 14 tahun) untuk melakukan sesuatu perbuatan kelucahan melampau yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.