Ustaz Wan Ji dilantik pegawai penerangan Pejabat Ketua Menteri P. Pinang

Wan Ji melafaz ikrar terimaan jawatan di hadapan ketua menteri Lim Guan Eng di Menara Komtar. Di sebelah kiri, penasihat strategik ketua menteri Saifuddin Nasution Ismail.

Penceramah terkenal dan aktivis Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ustaz Wan Ji Wan Hussin dilantik pegawai penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Wan Ji melafaz sumpah terimaan jawatan di hadapan ketua menteri, Lim Guan Eng disaksikan exco hal ehwal agama, perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan penasihat strategik ketua menteri Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Ustaz Wan Ji ialah lulusan dari beberapa institusi pendidikan agama dalam dan luar negara.

Beliau mendapat pendidikan awal di Institut Pendidikan al-Balaghul Mubin, Pasir Mas Kelantan sebelum melanjutkan pengajian di Pondok Lubuk Tapah, Kelantan; Karachi, Pakistan; Universiti Al-Azhar, Mesir (Syariah) dan Universiti Malaysia Kelantan (Kesusasteraan).

Ketika ditemui, Wan Ji berharap kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang terus melaksakan usaha pembaikan demi kepentingan rakyat selaras dengan saranan Al-Quran.

Menurutnya, kerajaan negeri telah menunjukkan komitmen terhadap masyarakat Melayu dan Islam.

“Saya melihat Pulau Pinang melakukan banyak kebaikan untuk rakyat, terutama kepada orang Melayu dan Islam, dan saya berasa kebaikan ini wajar diteruskan,” lapor Buletin Mutiara.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0