Pendakwah selebriti, Ustazah Asma’ Harun terpaksa menutup operasi kedai makannya selepas didakawa tidak mampu menanggung kerugian lebih RM30,000 setiap bulan.
Menerusi satu siaran langsung di TikTok baru-baru ini, Ustazah Asma’ berkata, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menampung kerugian termasuklah membuat pinjaman, menjual aset-aset serta menggadaikan barang kemas.
Namun dia mendakwa harga kos bahan mentah yang semakin meningkat memaksanya untuk menutup perniagaan yang terletak di Seremban itu.
“Setiap bulan kita negatif RM30,000. Contohnya, lepas sebulan kita berniaga, akauntan beritahu ada RM2,000 je dalam akaun. Saya tanya semula ‘habis tu nak byr gaji pekerja berapa perlu’.
“Akauntan pun beritahu bayar gaji pekerja nak dekat RM30,000. Bayar sewa pula kena cari lain. Kami buat macam mana, kami pinjam. Kami keluarkan simpanan ada, kami cairkan aset apa yang ada, semua kita jual.
“Barang kemas kita jual, simpanan kita keluarkan. Sampai bulan ini kami dah tiada apa-apa dah untuk kami tampung lagi. Ni bulan yang terakhir sebab kita nampak jualan masih sama,” katanya.
Tambah Ustazah Asma’ lagi, pihaknya tidak sanggup menaikkan harga makanan walaupun kos bahan mentah dan operasi semakin meningkat kerana tidak mahu membebankan para pelanggan.
Namun apa yang menjadi perhatian adalah ketika dia menyentuh tentang caj SST walhal sebenarnya kedai penceramah itu tidak pun dikenakan SST.
“Kita nak naikkan harga kita tak sanggup padahalnya kos operasi untuk restoran lagi-lagi ada makanan laut sangatlah tinggi. Harga barang sebenarnya sangat mahal sekarang, semua mahal.
“Lepastu ada SST kan. Sini kita kena tak SST? Belum lagi. Maksudnya ada macam-macam lah tuan-puan,” katanya.
Netizen jumpa ‘review’ pelanggan
Sementara itu, hasil carian Malaysia Dateline dan perkongsian maklumat pengguna media sosial, kami menemui beberapa ‘review’ pelanggan yang mendakwa tidak berpuas hati dengan servis perkhidmatan ditawarkan kafe tersebut.
Mereka antara lain mengadu bahawa pekerja mengambil masa sehingga dua jam untuk menyediakan hidangan mereka, sehingga akhirnya mereka memilih untuk membatalkan sahaja pesanan.
Kafe yang dikenali sebagai‘Momen Kafe’ itu juga dilihat hanya mendapat rating sebanyak 3.4/5.0 yang boleh diterjemahkan sebagai servis di bawah garis memuaskan.
Antara review mereka;
“Not recommend at all. Kedai selesa dan cantik tidak dinafikan. Tapi servis sangat-sangat lembab. Laksa masih ada bahagian yang keras.
“Dalam menu ada telur untuk Laksa Johor. Tapi bila sampai tak ada telur. Murtabak Jerantut sangat sedap tapi kulit keras dan liat. Air sirap tawar,” komen Fara sekitar enam bulan lalu berdasarkan ‘review’ di Google.
“Kami makan di restoran ketika makan tengah hari, hari ini. Tunggu makanan hampir dua jam baru sampai. Sepatutnya dia (staf) layan pelanggan ikut turutan pesanan. Ada pelanggan bangun balik kerana lama menunggu. Kena perbaiki masa servis. Nasib baik makanan dia okay,” komen Peridah yang memberi dua bintang sahaja.
“Kami yang dah sampai lama, tunggu makanan hampir dua jam. Tapi akhirnya, batal saja sebab tak mampu dah nak tunggu. Yang baru sampai, tak sampai 20 minit dah dapat makanan. Boleh tingkatkan lagi bahagian dapur dan servis,” komen Nor Humairaq sekitar tiga bulan lalu, dengan satu bintang diberikan.
“Terkejut terpaksa makan dalam keadaan tak selesa (pedih mata, hidung dan tekak) sebab asap kelabu dari bahagian dapur asyik berkepuk-kepuk masuk ke ruang makan. Perlu baiki keadaan ini secepat mungkin supaya tiada pelanggan dapat pengalaman yang sama,” komen Laily dengan satu bintang diberikan.
Baca juga: “Suami kalau tak disuruh memang tak jalan, dia tahu anak berak tapi dia tetap tunggu arahan aku…”