Malaysia Dateline

Ustazah muda di Sabak Bernam nyaris diragut

Seorang ustazah muda cedera akibat cubaan ragut dua lelaki di tepi jalan dekat Sungai Air Tawar, di Sabak Bernam kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Mangsa berusia 23 tahun luka di lutut, peha dan bibir selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke tepi jalan ketika mengelak diragut, kata Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias.

Walau bagaimanapun, tiada kerugian dialami mangsa yang dalam perjalanan ke rumah anak muridnya untuk mengajar agama itu memandangkan beg tangan miliknya gagal diambil suspek.

“Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal dari Sungai Air Tawar ke Pekan Parit Baru melalui jalan besar Sungai Tengar, di Sungai Air Tawar.

“Ketika berada di lokasi itu, datang sebuah motosikal ditunggang dua lelaki yang cuba mengambil beg tangan mangsa di dalam raga motosikal.

“Suspek tidak berjaya mengambil beg tangan itu berikutan mangsa menolak tangan suspek. Namun, mangsa terjatuh di tepi jalan dan cedera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Agus Salim memberitahu ustazah berkenaan gagal mengecam suspek yang memakai topi keledar bertutup penuh selain tidak mengingat jenis dan nombor pendaftaran motosikal digunakan suspek.

“Siasatan masih diteruskan. Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” jelasnya lagi.