Malaysia Dateline

Usul akta lompat parti diluluskan di Konvensyen AMANAH Nasional

Konvensyen AMANAH Nasional hari ini meluluskan usul untuk menggubal akta anti lompat parti dengan sokongan majoriti hari ini.

Usul berkenaan dibawa AMANAH Subang, Nordin Ibrahim agar parti mewujudkan segera akta berkenaan untuk menghentikan tindakan ahli-ahli politik yang keluar menyertai parti lain dengan sesuka hati tanpa sebab-sebab yang munasabah.

Beliau berkata, budaya politik khianat telah menyebabkan kerajaan yang tidak dipilih rakyat, merampas kuasa di peringkat negeri dan persekutuan.

Menurutnya, akta itu kelak perlu menetapkan sesiapa sahaja wakil rakyat yang berhasrat lompat parti, kerusi yang diwakilinya isytihar kosong dan perlu mengadakan pilihan raya yang baru selain mendenda dengan sejumlah wang yang ditentukan.

Usul berkenaan disokong perwakilan AMANAH Jerlun dan Pokok Sena yang menyifatkan tindakan lompat parti menjejaskan kestabilan parti, selain menandakan wujudnya unsur rasuah.

Perwakilannya, Zaisham Shah Bhari berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ahli-ahli Parlimen yang melompat telah dibeli dan dibayar.

Ia disokong Pokok Sena, Johari Hanapiah yang kemudian menyeru saf kepimpinan untuk menjadi penggerak utama menggerakkan usul tersebut supaya ahli Parlimen yang dipilih rakyat tidak lagi melakukan pengkhianatan.

Bagaimanapun semasa perbahasan awal, usul tersebut dibangkang perwakilan Gombak, Saari Sungib yang menyatakan ketidakpuasan hati menyatakan kekhutiran kepimpinan akan ‘pukul rata’ tentang definisi lompat.

Ia turut disokong perwakilan Pemuda AMANAH Nasional, Muammar Qaddafi yang menolak akta berkenaan kerana dianggap bertentangan dengan konsep demokrasi berparlimen.

Beliau menegaskan bahawa jatuh atau tidak sesuatu kerajaan bukan disebabkan pada tindakan lompat, sebaliknya ia melibatkan integriti seseorang Ahli Parlimen.

“Saya bimbang sekiranya akta ini dibuat dan kerajaan akan datang pula sangat bermasalah, ia akan menyebabkan Ahli Parlimen diikat tidak boleh melompat keluar. Kita bimbang akta ini akan membunuh pembentukan kerajaan lebih baik,” katanya lagi.