Malaysia Dateline

Usul desak Kerajaan Negeri Sarawak saman Petronas ditolak

Usul persendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pending,Violet Yong Wei Wei telah ditolak oleh Speaker Dun Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar semalam.

Violet telah membawa usul persendirian dengan mendesak Kerajaan Negeri Sarawak mengambil tindakan undang-undang ke atas Petronas bagi menuntut bayaran cukai lima peratus produk-produk petroleum.

Violet Yong

Pada Persidangan Dun Sarawak yang berlangsung di Kompleks Bangunan Dun di Kuching, Asfia memberitahu usul yang dibawa Adun Pending, Violet Yong telah ditolak gara-gara dihantar lewat iaitu pada 25 Oktober lalu.

Sebelum itu, Violet dalam usul persendiriannya menggesa supaya Kerajaan Neger Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Petroleum Nasional Berhad (Petronas) bagi bayaran yang belum dijelaskan berkuat kuasa pada tahun ini.

Katanya, ia adalah mengenai keputusan mahkamah bagi tindakan kerajaan negeri mengenakan cukai jualan lima peratus terhadap produk petroleum.

Jelas beliau, semasa dalam Bajet Negeri 2019, pendapatan dianggarkan telah mengambil kira pengumpulan cukai jualan terhadap produk petroleum yang diperoleh dari Sarawak oleh Petronas tetapi sehingga ke hari ini Petronas belum menjelaskan bayaran cukai jualan kepada Kerajaan Negeri Sarawak.

Violet menjelaskan , pembayaran yang belum dijelaskan bagi cukai jualan lima peratus oleh Petronas mempunyai impak ketara terhadap penyata imbangan kerajaan negeri.

“Saya memgemukakan usul tersebut bertujuan untuk mencari penyelesaian bahawa kerajaan negeri merujuk perkara tersebut kepada Mahkamah Perundangan bagi keputusan muktamad terhadap kesahihan tuntutan untuk cukai jualan.

“Kita telah melihat Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersuara lantang melalui pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bahawa sekiranya Petronas tidak membayar cukai menjelang akhir bulan ini, mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Petronas.

“Kerajaan Negeri Sarawak telah menyerahkan hak perundangan itu di Parlimen pada 1974 ketika bekas Ahli Parlimen Sarawak mengemukakan Rang Undang-Undang untuk Akta Pembangunan Petroleum.

“Saya harap mereka (kerajaan negeri) harus jujur terutamanya apabila ia melibatkan perkara berkaitan bajet sama ada mereka mempunyai hak untuk menuntut cukai jualan tersebut,” ujarnya yang juga merupakan Adun Dap-PH.

Namun, tegas Violet usul berkenaan ditolak kerana menurut Asfia perkara itu telah dinyatakan jelas oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semasa membentangkan Belanjawan Negeri Sarawak 2020 pada Isnin.

Beliau memetik ucapan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) dalam ucapan Belanjawan 2020, sebagai berkata ‘Di bawah Ordinan cukai Jualan Negeri 1998 , Petronas secara sah diwajibkan membayar Cukai Jualan dan kegagalan berbuat demikian sama seperti melanggar undang-undang.