Malaysia Dateline

Usul ditolak, Wanita Muda AMANAH menitiskan air mata

Konvensyen Nasional AMANAH hari ini menyaksikan Ketua Wanita Muda (WARDA), Anis Afida Mohd Azli menitiskan air mata menyatakan rasa kecewa berhubung penolakan usul sayap itu semalam.

Menurutnya, cadangan menjadikan keanggotaan WARDA di bawah usia 35 tahun berbanding 30 tahun pada masa ini penting dalam menarik lebih banyak sokongan golongan muda kepada AMANAH.

“Hari ini saya menyatakan kekecewaan kerana sehingga 3 pagi adik-adik (anggota WARDA), mereka sudah buat kumpulan WhatsApps selamat tinggal kepada WARDA. Sudah ada mahu masuk Bersatu,” luahnya.

Tangisan beliau kemudiannya mengundang reaksi sama kumulan perwakilan WARDA yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama.

Usul tersebut pada Konvensyen Nasional AMANAH di Ipoh, Perak semalam, jelas Anis, bukan untuk bersaing dengan sayap Angkatan Wanita AMANAH (AWAN).

“Kita usulkan awal penubuhan parti dibataskan kepada usia 35 tahun sahaja untuk kepimpinan Wanita Muda memasuki (sayap) Wanita.

“Tetapi kami kecewa apabila usul itu dilihat menyinggung perasaan kekanda (AWAN) saya,” ujarnya.

Beliau turut mempersoal keputusan menolak usul tersebut yang dilihat bercanggah dengan semangat AMANAH sebagai parti masa depan.

“Demokrasikah parti kita? Adilkah parti kita? Rahmatan Lil Alaminkah parti kita?

“Sayap Wanita Muda ini lambang masa depan parti kita. Setidak-tidaknya raikan bukan dipersoal status mereka semalam.

“Adakah saya ingin mencantas kepimpinan sedia ada? Kita adalah pelengkap. Bantu saya beri jawapan kepada sayap Wanita Muda. Salahkah usul ini dibawakan?

“Wanita Muda adalah kepimpinan masa depan. 100 peratus mereka adalah golongan muda wanita yang tidak berpolitik. 80 peratus adalah anak kepimpinan (AMANAH),” tegasnya.

Anis, 28, mengingatkan cabaran yang dihadapi AMANAH dalam menarik sokongan golongan muda khususnya daripada kaum Hawa pada peringkat awal penubuhan parti tersebut.

“Saya kecewa kerana saya sendiri terlibat dalam siri jelajah dalam memcari ahli-ahli baru dan mengalu-alukan kehadiran anak muda dan berfikir tentang strategi untuk menarik anak muda.

“Kita mencari adik-adik yang di luar. Mereka hadir ikhlas untuk membantu parti,” ujarnya.

Sehubungan itu, bekas calon kerusi Dun Penawar, Johor pada Pilihan Raya Umum 2013 berkenaan merayu agar AWAN menganggap golongan wanita muda sebagai anak-anak perempuan.

“Lihatlah kami sebagai anak-anak perempuan kalian. Mampukah mengajak mereka masuk politik di bawah 30 tahun?

Untuk rekod, status WARDA masih belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan kehadiran mereka pada konvensyen tahunan kali ketiga AMANAH itu atas kapasiti pemerhati khas.