Malaysia Dateline

Usul had umur Pemuda AMANAH ditolak sebulat suara

Cadangan usul perbahasan berhubung isu peremajaan sayap Pemuda AMANAH ditolak sebulat suara oleh perwakilan untuk dibawa ke Konvensyen AMANAH Nasional, yang bermula pada esok.

Usul yang diutarakan dari Perwakilan Johor itu, Ahmad Faris Rakbi mencadangkan agar had umur Pemuda AMANAH diturunkan dari 40 tahun ke 35 tahun.

“Usia 35 tahun lebih ideal dihadkan kepada Pemuda, dan 36 adalah usia sesuai untuk mereka berpencak politik di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Cadangan tersebut walau bagaimanapun ditolak oleh Perwakilan Pemuda dari Melaka, Kelantan dan Temerloh.

Perwakilan Melaka, Fadhli Hassan membantah usul tersebut bahawa ia tidak relevan untuk dibahaskan selepas ia telah pun dibahas oleh Wanita Muda AMANAH Nasional pada Konvensyen tahun lalu.

“Umur 35 tahun ini pendek tempohnya, tak sempat nak gapai matang politik. Kita kena faham usul ini tidak relevan untuk dibahaskan buat masa sekarang.

“Mungkin 20 tahun lagi akan relevan, tapi buat masa sekarang ini masih belum relevan. Setiap Kawasan belum tentu ada anak muda bawah 35 tahun yang bergiat dalam parti sendiri. Kebanyakannya berusia 40 tahun ke bawah sahaja,” katanya.

Sementara itu, perwakilan Kelantan dalam membantah usul tersebut memberitahu adalah sukar mencari Pemuda berusia kurang 35 tahun di Kelantan untuk menganggotai AMANAH.

Hujahnya mendapat sokongan perwakilan Temerloh sebelum Speaker Ustaz Ridzwan Abu Bakar mengumumkan usul tersebut ditolak sebulat suara setelah mendapat bantahan majoriti perwakilan.

Perwakilan sebulat suara menolak usul had umur Pemuda AMANAH.