Malaysia Dateline

Usul isu MySejahtera dibahas di Dewan Negara petang ini

Usul berkenaan kontroversi data peribadi rakyat Malaysia dalam aplikasi MySejahtera dibenar untuk dibahaskan di Dewan Negara petang ini.

Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim hari ini berkata, usul di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 17(1) itu dikemukakan oleh Senator Muhammad Zahid Md Arip.

Ketika membacakan usul tersebut, Muhammad Zahid berkata, isu itu berkepentingan orang ramai dan perlu disegerakan kerana melibatkan data peribadi jutaan rakyat Malaysia.

Selepas mempertimbang usul yang diterima pada Selasa, Rais bersetuju bahawa ia memenuhi tiga syarat yang ditetapkan di bawah Peraturan Mesyuarat 17(3).

“Oleh demikian, dibenarkan usul ini dibahaskan mengikut Peraturan Mesyuarat 17(3) pada petang ini, 31 Mac 2022, dalam dewan ini (Dewan Negara).

“Saya membenarkan pihak pencadang untuk berbahas selama 30 minit, dan selepas itu pihak kerajaan akan menjawab 30 minit.

“Tertakluk kepada pertanyaan dan pernyataan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat, boleh lah menyertai perbahasan itu mengikut kadar dapat kita berikan pada ketika itu petang ini,” katanya.

Muhammad Zahid dalam usulnya berkata, usul tersebut dibuat susulan langkah memilih sebuah syarikat swasta iaitu MySj Sdn Bhd untuk meneruskan pengurusan aplikasi MySejahtera.

Beberapa individu penting di dalam syarikat swasta itu, jelasnya, mempunyai hubungan serta secara langsung dengan syarikat KPISoft Malaysia Sdn Bhd iaitu syarikat yg membangunkan aplikasi MySejahtera.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dijangka menjawab usul tersebut pada jam 4.30 petang ini.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/mengapa-mysejahtera-dijual/

Baca juga: https://themalaysialife.com/rupanya-ada-sebab-tak-boleh-pakai-minyak-wangi-semasa-hiking-boleh-tarik-perhatian-makhluk-halus/