Malaysia Dateline

Usul kosongkan kerusi Adun P Pinang lompat parti Oktober ini

Kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengemukakan usul bagi mengisytiharkan kerusi Dun kosong bagi Adun yang melompat parti dalam sidang Dun P. Pinang pada Oktober akan datang.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow selaras dengan saranan yang dibuat oleh Menteri Undang-undang, Datuk Takiyudin Hassan.

Menurutnya, perkara tersebut adalah selaras menurut Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012 berkaitan pertukaran parti politik mana-mana wakil rakyat.

“Perkara 14A(1) Enakmen Perlembagaan tersebut menyatakan bahawa seseorang Adun hendaklah mengosongkan kerusi Dun tersebut sekiranya telah dipilih sebagai calon, ia melepaskan atau dilucutkan keahliannya maupun berhenti dari menjadi ahli politik tersebut atas apa jua sebab.

“Ataupun setelah dipilih sebagai calon yang bukan daripada satu parti politik, ia pula menyertai sebuah parti politik serta Perkara 14A(1) memperuntukkan keadaan dimana seseorang Adun hendaklah mengosongkan kerusinya sebaik sahaja ia menukar parti politik dalam apa jua cara sekalipun.

“Pembentangan usul ini pada sidang Dun Oktober nanti merupakan usaha kerajaan negeri atas prinsip demokrasi supaya wakil rakyat yang terdiri dari Adun-Adun dapat membahaskan usul tersebut sebelum sebarang keputusan dapat dicapai,” ujar beliau.

Baru-baru ini juga Datuk Takiyuddin Hassan yang juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah mencabar kerajaan negeri Pulau Pinang supaya mengosongkan empat kerusi Dun setelah empat Adun Pulau Pinang melompat parti.

Manakala cabaran tersebut disambut baik oleh kerajaan negeri Pulau Pinang bagi memastikan amalan melompat parti dapat dihentikan dikalangan wakil rakyat.