Malaysia Dateline

Usul lanjut kuatkuasa Subseksyen 4(5) SOSMA ditolak: Kerajaan perlu ganti dengan akta lebih baik

Usul lanjut kuatkuasa Subseksyen 4(5) SOSMA ditolak: Kerajaan perlu ganti dengan akta lebih baik.
Syahredzan Johan

Apa implikasi usul kerajaan berkenaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang ditolak semalam? Saya cuba huraikan.

Bawah SOSMA seseorang suspek ‘kesalahan keselamatan’ boleh ditahan 24 jam. Tempoh ini boleh dilanjutkan sehingga 28 hari menurut Seksyen 4(5) tanpa perlu bawa ke mahkamah untuk direman.

Ketika SOSMA digubal, Seksyen 4(11) dimasukkan sebagai ‘sunset clause’ untuk Seksyen 4(5). Maknanya, penguatkuasaan Seksyen itu mesti diperbaharui Parlimen setiap lima tahun.
Ini yang Menteri KDN usulkan dalam sidang ini. Tapi, dikalahkan.

Maknanya, Seksyen 4(5) ini lepas ini tidak boleh digunapakai!

Kalau tidak boleh gunapakai, adakah seorang suspek ‘kesalahan keselamatan’ boleh ditahan?

Ya, masih boleh. Tetapi kena ikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Acara Jenayah; kena bawa ke mahkamah lepas tempoh 24 jam dan dapatkan perintah reman.

Maknanya, polis kena beri justifikasi pada Majistret kenapa perlu tahan seseorang suspek, dan suspek pun boleh cabar penahanan lanjut masa itu.

Ini memberi impak yang besar sebab masa Sekayen 4(5) ini berkuatkuasa, polis gunakannya untuk beri tekanan pada suspek.

Tekanan ini memang terjadi, ya. Saya banyak buat kes SOSMA. Polis tidak pukul atau seksa secara fizikal (biasanya) tetapi akan beri tekanan mental.

Mereka kata, mereka akan tangkap isteri, keluarga dan lain-lain. Lepas berminggu kena tahan, tahanan biasa akan ‘mengaku’.

Mereka disuruh tandatangan suatu pengakuan yang dipanggil dokumen 18A. Bawah Seksyen 18A apa-apa kenyataan suspek sama ada bertulis atau lisan, adalah ‘admissable’ atau boleh diterima mahkamah. Kalau bukan SOSMA, kenyataan seperti ini tidak diterima.

Maka, apa yang terjadi semalam adalah sesuatu yang bersejarah dan diharapkan akan mencetus tindakan serius kerajaan untuk semak semula dan mansuh SOSMA ini untuk digantikan dengan Akta yang lebih baik.

Seksyen 4(5) ini hanya terpakai untuk ‘suspek’ iaitu orang yang belum kena dakwa dan baru disiasat. Lepas kena dakwa, lain peruntukan terpakai dan tidak terjejas dengan usul yang ditolak semalam.

Baca juga: