Malaysia Dateline

Usul mahu Takiyuddin, Idrus dikenakan tindakan dihantar pada SU Dewan Rakyat

Satu usul telah dihantar bagi mengambil tindakan terhadap Menteri Undang-undang Datuk Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara Idrus Harun kerana didakwa telah mengelirukan dewan.

Usul daripada Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran dihantar kepada Setiausaha Dewan Rakyat bertarikh hari ini.

Menurut Kulasegaran, kenyataan tersebut merujuk kepada ucapan Takiyuddin di Parlimen pada 26, 27 dan 28 Julai yang turut dianggap menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Tindakan Kulasegaran mengikut Peraturan Tetap 26 (1) (p) dan 36 (12).

Beliau berkata, kenyataan Ahli Parlimen Kota Bharu bahawa ordinan darurat ditamatkan adalah tidak betul dan telah mengelirukan dewan.

“Faktanya adalah pembatalan hanya akan berlaku apabila ia diperkenankan oleh Agong,” katanya.

Semalam, Istana Negara mengeluarkan kenyataan memaklumkan rasa amat dukacita Agong terhadap cara ordinan darurat dibatalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin, Agong juga amat kecewa apabila ordinan darurat itu tidak dibentang dan dibahaskan seperti dipersetujui Takiyuddin dan Idrus di hadapan baginda pada 24 Julai lalu.

Terdahulu pengumuman Takiyuddin telah mengejutkan ramai pihak apabila menegaskan pembatalan Ordinan Darurat dilakukan sejak 21 Julai.

Bagaimanapun Istana Negara memaklumkan Agong belum memperkenankan pembatalan tersebut dan mengatakan Takiyuddin telah mengelirukan dewan.

Kulasegaran berkata berdasarkan Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan adalah tugas peguam negara untuk memberi nasihat kepada Agong dan kabinet tetapi apa yang berlaku sekarang memperlihatkan kegagalan Idrus menjalankan tugasnya berhubung isu tersebut.

Pada masa sama, Kulasegaran turut merujuk perkara tersebut kepada perintah tetap yang dibuat berdasarkan Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan berkaitan pelaksanaan prosedur parlimen, yang menyatakan bahawa;
“Tertakluk kepada peruntukan perlembagaan ini dan peruntukan undang-undang persekutuan, setiap majlis parlimen hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri.”

“Peguam negara seharusnya mempertanggungjawabkan dirinya sebagai paling awal ketika konflik ini berlaku.

“Mengingati perkara di atas, secara jelas peguam negara gagal mematuhi nasihat Agong,” katanya.

Bekas menteri sumber manusia itu juga meminta agar tindakan sewajarnya diambil terhadap Takiyuddin dan Idrus, serta meminta supaya Takiyuddin mengundurkan diri sebagai menteri.