Usul mansuh Akta Anti Berita Tidak Benar ditolak

Akta ini membolehkan mereka yang menyebarkan berita palsu diambil tindakan.

Dewan Negara menolak usul untuk membatalkan Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 apabila pengundian dibuat hari ini dengan 28 senator menolaknya manakala 21 menerimanya.

Ini adalah kegagalan pertama Pakatan Harapan (PH) untuk membawa sesuatu usul di Dewan Negara selepas menang dan membentuk kerajaan selepas PRU 14 lalu.

Usul pemansuhan itu ditolak oleh 28 senator pembangkang terdiri daripada wakil Barisan Nasional (BN) dan PAS manakala 21 senator Pakatan Harapan menyokong. Tiga senator berkecuali dan selebihnya tidak hadir.

Dewan Negara kini mempunyai 68 anggota dengan 28 senator mewakili BN, tiga dari PAS, tiga dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), dua dari Gerakan dan seorang wakil Parti Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF). Tiga lagi senator mewakili masyarakat Siam, Orang Asli dan orang kurang upaya (OKU).

Pemansuhan akta itu sebelum ini diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Ogos lepas, empat bulan setelah diwartakan sebagai undang-undang.

Akta itu diwartakan oleh pentadbiran Najib Razak pada 11 April lalu, lebih kurang sebulan sebelum PRU14.

Pada sidang Dewan Rakyat ketika itu, Timbalan Menteri di Jabatan perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berkata akta itu dimansuhkan kerana undang-undang sedia ada sudah memadai untuk menangani penyebaran berita palsu.

“Pemansuhan akta itu sesuai dengan manifesto PH yang berikrar menghapuskan akta yang menzalimi rakyat dan undang-undang ‘rimba’ kerajaan terdahulu,” katanya ketika menggulung perbahasan pemansuhan akta itu di Dewan Rakyat.

Akta itu diperkenalkan sebelum PRU14 antara lain bertujuan untuk mengekang penyebaran berita palsu, namun pelbagai pihak termasuk PH yang jadi pembangkang pada masa itu menyifatkan sebagai cubaan menyekat maklumat yang menjejaskan pentadbiran BN.

Akta itu mentakrifkan “berita tidak benar” sebagai “apa-apa berita, maklumat, data dan laporan yang bahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea”.

Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga enam tahun bagi kesalahan antara lain mengadakan, menawarkan atau menerbitkan berita tidak benar atau penerbitan yang mengandungi berita tidak benar.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS