Usul pecat Suee Lim, Zahid tidak akan mengalah timbulkan perbalahan, kata Khalid

Usul pecat Suee Lim, Zahid tidak akan mengalah timbulkan perbalahan, kata Khalid

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai pembangkang yang akan berusaha menimbulkan perbalahan dalam kalangan anggota kerajaan apabila semalam beliau membawa usul supaya Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim dipecat.

Ia susulan Ng didakwa menangguhkan sidang mesyuarat sebelum Menteri Besar Amirudin Shari membentangkan rang undang-undang meminda enakmen bagi membolehkan penukaran agama anak secara sebelah pihak.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, tindakan Zahid memperlihatkan sisi pembangkang yang terus berusaha menimbulkan perbalahan Pakatan Harapan (PH) Selangor.

“Zahid Hamidi sebagai pembangkang akan berusaha menimbulkan kegusaran dan perbalahan dalam kalangan anggota kerajaan dan Pakatan Harapan di Selangor.

“Isu yang telah timbul hasil daripada persidangan DUN yang lepas bukan merupakan satu masalah atau ancaman besar. Ia boleh ditangani oleh kerajaan kerana PH ini diperingkat negeri sekalipun terpaksa akur dengan keputusan diperingkat pusat.

“Tapi kalau Zahid nak beri restu (kepada umno untuk menggerakkan pemecatan), dia boleh lah. Mungkin akan mampu mendatangkan perubahan, itu hal lain. Itu hak dia sebagai pembangkang untuk melakukan tindakan-tindakan yang dianggap perlu bagi dia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku 365 Hari Mangurus Transisi Memenuhi Harapan & Portal Berita Wilayahku.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Saripuddin Kasim; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim; dan Ketua Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Zaizalnizam Zainun.

Semalam, Zahid mendakwa Ng tidak menghormati hal ehwal Islam apabila speaker itu mengakhiri sidang dewan yang dijadualkan berlangsung selama 12 hari dalam masa dua hari sahaja.

“Persidangan yang panjang ditamatkan dalam tempoh dua hari. Kerana apa? Sebab ada RUU yang sepatutnya dibaca menteri besar. Bukan kah kurang ajar?”

“Saya beri kuasa sepenuhnya untuk membawa usul bahawa speaker mesti dipecat,” katanya ketika merasmikan mesyuarat Ummo Bahagian Petaling Jaya hari ini, lapor Free Malaysia Today.