Malaysia Dateline

Datuk Takiyuddin Hassan

Usul percaya sama macam usul tidak percaya, apa tujuan Pas membawanya?

Usul percaya adalah sama dari segi hasil atau keputusannya dengan usul undi tidak percaya.

Sebelum ini, Tun Mahathir Mohamad telah memohon untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan ia telah pun diterima oleh Speaker Dewan Rakyat untuk dibentangkan di Parlimen.

Oleh kerana Sidang Parlimen pada 18 Mei lalu tiada sessi perbahasan, kemungkinan besar usul itu akan diberi laluan untuk dibentangkan dalam sessi yang akan bermula 13 Julai depan.

Usul undi tidak percaya itu adalah untuk menguji dan menentukan sama ada Muhyiddin benar-benar ada sokongan majoriti daripada 222 Ahli Parlimen seluruh negara.

Berdasarkan sususan tempat duduk pada Sidang Parlimen 18 Mei lalu, penyokong kerajaan didapati hanya mempunyai kelebihan dua Ahli Parlimen saja.

Kemudian, Ahli Parlimen Seri Aman, Sarawak, Masir Kujat mengisytiharkan dirinya adalah bersama pembangkang, meskipun tempat duduknya diletakkan di barisan kerajaan.

Kata beliau, kedudukannya telah ditentukan dan oleh itu beliau tiada pilihan melainkan duduk saja di tempat yang telah disediakan untuknya pada Sidang Parlimen 18 Mei lalu.

Selepas itu, Ahli Parlimen Sri Gading, Dr. Shahruddin Salleh membuat kejutan dengan meletakan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerjaraya, satu lagi tamparan terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Seterusnya, Ahli Parlimen Lubuk Antu di Sarawak, Tambat @Jugah anak Mayang daripada PKR mengumumkan keluar parti dan menyokong Muhyiddin serta PN.

Dengan rentetan realiti itu, hakikatnya kedudukan Muhyiddin adalah goyang dan rapuh dalam berhadapan usul undi tidak percaya yang bakal dibawa oleh Tun Mahathir nanti di mana majoritinya hanya sekitar satu atau dua undi saja.

Sekarang, dalam perkembangan terbaru, Pas yang bersama dalam kerajaan PN pimpinan Muhyiddin telah mengesahkan bahawa mereka akan membentangkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri pada Sidang Parlimen bermula 13 Julai depan.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, usul percaya itu dibentangkan untuk menzahirkan sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin yang telah menerajui negara sejak 1 Mac, baru-baru ini.

Sebagaimana disebut pada awal, dari segi keputusan akhir, hasil daripada usul undi tidak percaya dengan usul percaya adalah sama saja.

Dalam usul undi tidak percaya, oleh kerana tujuannya ialah untuk menunjukkan Muhyiddin tiada sokongan, jika undi menyokong adalah lebih tinggi berbanding undi menentang, kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri akan tergugur melaluinya.

Di sini, pihak yang membawa usul harus berusaha, selain memastikan sokongan pembangkang kekal tidak berubah, juga menambah undi daripada pihak kerajaan yang mungkin ada Ahli Parlimen tertentu mempunyai sebab-sebab tersendiri tidak setuju dengan kepimpinan Perdana Menteri.

Sokongan daripada Ahli Parlimen tertentu kerajaan terhadap usul undi tidak percaya boleh juga dizahirkan dengan cara mereka berkecuali atau tidak hadir Sidang Parlimen yang akan menyebabkan undi pihak kerajaan berkurangan.

Dalam usul undi percaya pula, sesuai dengan tujuannya untuk mengekalkan kedudukan Muhyiddin selaku Perdana Menteri, Pas yang membawa usul tersebut juga mesti berusaha memperolehi sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.

Sebaliknya, kalau sokongan majoriti gagal diperolehi, undi percaya itu dikira gagal dan kedudukan Muhyiddin dikira jatuh. Dalam usul undi percaya, selain pembangkang sudah pasti tidak memberi sokongan, undi daripada pihak kerajaan sendiri boleh berkurangan daripada yang dijangkakan.

Ia misalnya, jika ada Ahli Parlimen kerajaan menunjukkan sikap tidak menyokong dengan cara tidak hadir Sidang Parlimen atas pelbagai alasan yang boleh direka atau dicipta, tetapi sebenarnya ada perasaan tidak puas hati yang telah lama terpendam atau kerana tidak diberikan sebarang jawatan.

Dalam keadaan sokongan terhadap Muhyiddin hanya berkelebihan satu atau dua undi, ketidakhadiran dua atau tiga Ahli Parlimen kerajaan tentu saja boleh menggugat kedudukan Muhyiddin, baik dalam usul undi tidak percaya atau usul percaya.

Dengan yang demikian, sementara tujuan Tun Mahathir mengemukakan usul undi tidak percaya adalah jelas untuk menumbangkan Muhyiddin, tetapi apakah niat Pas mengemukakan usul percaya itu?

Ini kerana, di sebalik niatnya mahu menunjukkan bahawa Muhyiddin memiliki sokongan, ia boleh juga memperlihatkan Perdana Menteri sudah tiada sokongan.

Tentulah sebenarnya lebih lurus jika Pas hanya berdiam diri saja dan tidak gatal tangan turut mengemukakan usul percaya yang boleh menjejaskan kedudukan Muhyiddin dalam keadaan sokongan yang dimilikinya begitu kabur dan tidak menentu.

Apakah dalam hal ini, Pas sedang ada perancangan bersama Umnp agar pilihanraya mengejut segera diadakan dan Muafakat Nasional boleh meletakkan calonnya sendiri sebagai Perdana Menteri?