Usul persempadanan diawal, Parlimen dijangka bubar akhir Mac

Usul persempadanan diawal, Parlimen dijangka bubar akhir Mac

Akhbar tempatan hari ini melaporkan Parlimen dijangka bubar akhir bulan ini atau awal April apabila usul persempadanan semula dijangka diawalkan daripada 29 Mac kepada 19 Mac.

Berita Harian yang memetik satu sumber melaporkan pembubaran Parlimen lebih awal itu bagi memberi laluan kepada persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sumber itu dipetik berkata, Usul Draf Perintah Perlembagaan dan Laporan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri itu, dijangka dibentang di Dewan Rakyat seawal 19 Mac ini atau selewat-lewatnya pada 26 Mac.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan usul tersebut untuk bacaan kali pertama.

Pembentangan usul itu dibuat sejurus selesai perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, yang sedang berlangsung di Dewan Rakyat sejak 5 Mac lalu.

Ia sekali gus menyaksikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ke-13 yang dijadualkan hingga 5 April depan merupakan sidang terakhir sebelum berlangsungnya PRU-14.

4.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 8.0
CATEGORIES