Usul pindaan, hanya Umno dan PAS yang mengetahuinya

Usul pindaan, hanya Umno dan PAS yang mengetahuinya

Sejarah baru telah dilakarkan hari ini apabila rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang diusulkan oleh Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang telah dibacakan untuk kali pertama ekoran usul Kerajaan untuk menyegerakannya. Dalam sejarah Parlimen Malaysia, tidak pernah ada rang undang-undang persendirian yang berjaya dibentangkan untuk bacaan.

Namun begitu, setelah mencapai kejayaan besar tersebut, Hadi dengan tiba-tibanya telah meminta agar bacaan kali kedua ataupun perbahasan rang undang-undang tersebut ditangguhkan sehingga ke mesyuarat Parlimen akan datang. Setelah mencuba selama tiga mesyuarat berturut-turut, mengapakah Hadi tidak teruskan sahaja dengan bacaan dan perbahasan seterusnya, apatah lagi apabila semua Ahli Parlimen PAS sudah pun hadir?

Tindakan Hadi ini langsung tidak masuk akal dan justeru menimbulkan persoalan besar mengenai keikhlasan Hadi dan PAS untuk menggerakkan usaha untuk membenarkan pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 di Kelantan. Jika Akta Mahkamah Syariah berjaya dipinda, maka enakmen yang sering diuar-uarkan Pas itu akhirnya boleh dilaksanakan.

Peristiwa di Parlimen pada hari ini jelas membuktikan kewujudan persekongkolan yang ketara antara PAS dan UMNO. Pertamanya, Hadi dan Ahli-ahli Parlimen Pas telah hadir dengan sepenuhnya. Ini merupakan sesuatu yang jarang berlaku kecuali pada hari majlis adat istiadat, pembentangan belanjawan atau apabila sesuatu rang undang-undang penting akan dibahaskan dengan pemberitahuan awal.

Keduanya, tindakan Menteri Kerajaan untuk menyegerakan rang undang-undang persendirian Hadi juga merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku. Dalam keadaan di mana ramai Ahli Parlimen BN dari parti MCA dan MIC sendiri tidak tahu mengenai usul Menteri yang dibawa tadi, maka adalah jelas bahawa hanya Umno dan PAS yang mengetahuinya.

Oleh itu, tampak sangat bahawa apa yang berlaku hari ini merupakan wayang politik semata-mata, dan bukannya usaha jujur untuk melaksanakan apa yang selama ini didakwa oleh PAS sebagai tuntutan agama.

Zairil Khir Johari adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera

CATEGORIES
TAGS